Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 December, 2009

Jambatan Sungai Kaong siap dibina


Caption: UNTUK RAKYAT...Harden sedang menyempurnakan simbolik perasmian Jambatan Sungai Kaong dengan memotong reben ketika berlangsungnya majlis kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (11 Dis) – Penduduk dari tiga buah rumah panjang dalam kawasan Undop kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan telah siap membina sebuah jambatan baru di Sungai Kaong, Ulu Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata pembinaan jambatan Sungai Kaong oleh kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berasaskan besi dan konkrit itu telah menelan kos sebanyak RM200,000.

“Ia merupakan respon kerajaan apabila mendapati bahawa penduduk dari rumah panjang dari Kaong, Radau dan Samak (kawasan Undop) sukar berhubung ke dunia luar ekoran kerosakan jambatan mereka selama ini.

“Justeru kerajaan telah membina jambatan baru di Sungai Kaong ini yang bermula pada awal bulan Oktober dan mula digunakan oleh penduduk di situ menjelang awal bulan Disember ini tadi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian jabatan terbabit di Sungai Kaong, Undop, Batu Lintang pada Rabu lalu.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Sri Aman, Hairaini Solo, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Henry Kerang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Jimmy Chong, para wakil ketua jabatan dan ketua kaum dari kawasan Sri Aman.

Pembinaan jambatan sepanjang 60 kaki dengan lebar 12 kaki itu jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu secara tidak langsung dapat menghubungkan 300 penduduk dari tiga buah rumah panjang terbabit ke dunia luar selepas ini.

Sementara itu seorang penduduk yang ditemui Utusan Sarawak pada majlis itu menjelaskan bahawa penduduk dari tiga buah rumah panjang berkenaan menggunakan jambatan kayu Tebelian yang terletak di kawasan Ulu Sungai Kaong untuk berhubung ke dunia luar sebelum ini.

“Jambatan kayu itu kemudian musnah dihanyutkan air sebelum ia dibina semula. Jambatan kayu kedua di Ulu Sungai Kaong ini musnah kembali akibat faktor yang sama sebelum pihak pemaju syarikat balak membina sebuah jambatan sementara berasaskan kayu balak di situ pada tahun 2006,” katanya.

Bagaimanapun sebahagian daripada jambatan sementara itu runtuh selepas itu sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk dari tiga rumah panjang terbabit sebelum kerajaan bertindak membina sebuah jambatan konkrit besi yang baru bermula bulan Oktober lalu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment