Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2009

Amalkan budaya politik matang - Simoi


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Selasa (22 Dis) – Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan N.23 Lingga diseru agar mengamalkan budaya politik yang lebih matang selepas ini demikian menurut ketua cawangannya, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Ini kerana penglibatan seseorang individu dalam sesebuah parti politik hanya semata-mata untuk meraih populariti pada nama adalah dianggap sebagai tidak ‘matang’ dan boleh merosakkan hala tuju sebenar perjuangan parti itu sendiri.

“Seseorang yang ingin terlibat dalam parti politik perlu sedar bahawa mereka sebenarnya berjuang untuk mempertahankan hak kebajikan hidup rakyat yang dipimpin oleh parti mereka selama ini.

“Jika mereka menyertai politik hanya kerana ingin terkenal maka ia secara tidak langsung bertentangan dengan matlamat perjuangan utama parti. Kita di PBB mahu budaya politik matang diperjuangkan oleh semua ahli dan bukannya hanya mahu popular,” katanya.

Simoi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan PBB cawangan N.23 Lingga bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga mahu semua ahli PBB khususnya dari kawasan cawangan Lingga untuk terus bekerjasama dengan pihak barisan pemimpin tertinggi parti bagi mencapai matlamat pembangunan di kawasan DUN Lingga.

“Sokongan yang kuat pada peringkat akar umbi membolehkan suara rakyat di kawasan kita (Lingga) menjadi lebih jelas terutama sekali dalam memperjuangkan pembangunan hidup masing-masing.

“Justeru amat penting bagi semua pihak menolak kepentingan diri masing-masing dalam parti selepas ini demi menjadikan PBB sebagai sebuah parti Barisan Nasional yang terus unggul dalam meneraju pembangunan di Sarawak,” menurut beliau.

Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan PBB cawangan N.23 Lingga itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden II PBB, Datuk Amar Haji Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg merangkap Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar.

Hadir sama ialah Naib Presiden Kanan PBB, Haji Abdul Wahad Aziz, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Abu Seman Jahwie, Ketua cawangan PBB N.23 Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Haji Abdul Karim Hamzah, para pemimpin cawangan dan ahli PBB Lingga.

Tamat.


No comments:

Post a Comment