Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 November, 2009

Tiada had umur masuk Giatmara

SRI AMAN, Selasa (3 Nov) – Syarat kemasukan ke latihan di pusat GIATMARA kini terbuka kepada semua penduduk tanpa ada batas umur berbanding dengan syarat kemasukan umur penduduk sebelumnya iaitu antara 15 – 40 tahun.

Justeru Pengurus Negeri GIATMARA Sarawak, Kapten (Bersara) Haji Azman bin Haji Abdul Samad meminta kerjasama pejabat Residen, Pejabat Daerah atau jabatan kerajaan untuk memaklumkan ‘berita baik’ tersebut kepada penduduk khususnya di Sri Aman selepas ini.

“Ini merupakan satu peluang yang cukup baik bagi semua penduduk untuk mempertingkatkan kemahiran dalam diri khusus bagi mereka yang mahu menambah pendapatan masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil dan ‘Tool Kit’ Program Latihan Menjana Pendapatan (LMP) GIATMARA SRI AMAN dan GIATMARA Lubok Antu Siri 1 / 2009 (Program Pembasmian Kemiskinan) bertempat di sebuah hotel tempatan di sini hari ini.

Selain itu program LMP anjuran GIATMARA menurut Azman juga mempunyai kelebihannya tersendiri memandangkan para peserta yang terpilih menerusi program ini akan diberikan alatan ( Tool Kit) yang berkaitan dengan kursus yang mereka jalani.

“Program yang direka khas untuk membasmi kemiskinan dan kemiskinan tegar dalam negara ini sememangnya memberi peluang kepada para peserta untuk terus berdikari sebaik sahaja tamat kursus itu.

“Oleh itu diharap agar para peserta yang mengikuti kursus ini dapat memgembangkan bidang kemahiran masing-masing dengan adanya pemberian alatan serta pengetahuan daripada pihak GIATMARA selepas ini,” katanya.

Hadir sama Timbalan Residen Sri Aman (Bahagian Pembangunan Sosial), Felicia Tan, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengurus GIATMARA Sri Aman / Lubok Antu, Mohammad Nazib bin Pabeli, para pengerusi dan kakitangan GIATMARA dari lain-lain cawangan dalam negeri ini.

Seramai 60 orang individu dari Sri Aman dan Lubok Antu yang berdaftar dalam sistem e-kasih sebelum ini telah menjalani kursus Menggunting Rambut Lelaki dan Pembuatan Kek Lapis Sarawak selama enam hari bermula 29 Oktober lalu.

Program LMP GIATMARA SRI AMAN serta GIATMARA Lubok Antu Siri 1 / 2009 ini menelan kos sebanyak RM220,000 dan merupakan program yang Ke-28 diadakan dalam seluruh negeri Sarawak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment