Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 November, 2009

Rakan Alam Sekitar bantu kerajaan bendung pencemaran - Uggah

BETONG, Sabtu (28 Nov) –Penubuhan jawatankuasa Rakan Alam Sekitar penting bagi membantu kerajaan untuk mewujudkan kebersihan alam sekitar di negara ini khususnya di Sarawak pada suatu hari kelak.

Justeru Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata untuk menjayakan usaha ini pihak kementerian beliau telah bertindak menubuhkan jawatankuasa berkenaan di 222 kawasan parlimen dalam negara ini.

“Pencemaran alam sekitar terutamanya sungai masih tetap berlaku walaupun kerajaan menerusi jabatan atau agensinya telah berusaha keras untuk mewujudkan kebersihan di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Atas sebab ini saya telah bertindak menubuhkan jawatankuasa Rakan Alam Sekitar sebaik sahaja mengambilalih Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbersih di dunia pada suatu hari nanti,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar (RAS) Peringkat Parlimen Betong dan Parlimen Lubok Antu yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong hari ini.

Selain itu pembabitan golongan pelajar dalam jawatankuasa RAS menurut beliau juga adalah penting memandangkan kesedaran perlu wujud dalam golongan ini untuk mempertahankan status kebersihan dalam kawasan masing-masing.

Kesedaran mengenai bahaya pencemaran katanya perlu dididik pada usia muda golongan pelajar agar pengetahuan mengenai betapa pentingnya kebersihan itu dapat dipratikan apabila mereka dewasa kelak.

“Justeru saya berharap agar RAS khususnya di Betong dapat melaksanakan pelbagai program yang berkaitan dengan aspek kebersihan alam sekitar khususnya dalam aspek penjagaan sungai selepas ini,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Hadir sama ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian (Penubuhan Peladang dan Koperasi) Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi dan Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel.

Majlis itu telah diserikan dengan upacara penanaman sejumlah 150 anak pokok di kawasan MRSM Betong.

Tamat.

No comments:

Post a Comment