Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 November, 2009

Pendidikan elemen penting dalam hidup - Ring


Caption: TAHNIAH... Ring Anak Labang (tengah) sambil diapit oleh Kulok Laga dan Jemat bergambar bersama dengan 13 orang murid yang penerima insentif pelajar cemerlang UPSR pada majlis tersebut.

original picture by Uding Ragai


ENGKILILI (27 Nov) – Pendidikan merupakan elemen terpenting dalam hidup bagi mencapai kemajuan pada masa akan datang demikian menurut Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.2, Ring anak Labang.


Menurut beliau pendidikan memberi kelebihan terhadap seseorang individu untuk bersaing dalam cabaran global terutama sekali dari segi aspek pencarian pekerjaan yang sesuai dengan bidang diri masing-masing.


“Saingan dijangka sengit dalam mencari pekerjaan menerusi pasaran global pada masa akan datang. Justeru murid-murid dinasihat agar bersedia untuk tujuan ini mulai sekarang.


“Mereka harus serius untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam bidang akademik masing-masing agar tidak ketinggalan berbanding lain-lain individu yang berjaya dalam hidup selepas ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif kepada 13 orang murid SK Engkilili No.2 yang berjaya mencatat keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Rendah (UPSR) 2009 di sekolah berkenaan baru-baru ini.


Sementara itu Guru Besar SK Engkilili No.2, Kulok Naga menerusi ucapannya pada majlis itu berharap agar kejayaan murid dalam mencapai keputusan cemerlang pada UPSR tahun ini dijadikan sebagai contoh oleh murid yang bakal menduduki ujian yang sama pada tahun akan datang.


Untuk itu beliau berharap agar ibubapa dan guru boleh memainkan peranan yang lebih serius untuk membantu mempertingkatkan prestasi pendidikan anak-anak di sekolah mereka selepas ini.


Terdahulu Ivaneo Kemedu anak James muncul sebagai pelajar cemerlang SK Engkilili No.2 setelah memperolehi keputusan 5A menerusi UPSRE 2009 yang diumumkan pada hari Khamis yang lepas.


Ivaneo merupakan antara 25 orang calon murid SK Engkilili No.2 yang telah menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini. Hadir sama ialah Penolong Kanan I SK Engkilili No.2, Jemat Marayang.


Tamat.

No comments:

Post a Comment