Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 November, 2009

Kenaikan elaun Tr dan KK perlu rujukan SS Kerajaan Negeri - Jabu


Caption: TAHNIAH...Jabu sedang menyampaikan hadiah kepada seorang pelajar sambil disaksikan oleh (dari kanan) Paul Langgang, Romie Sigan dan Robert Lawson ketika berlangsungnya majlis hari ini.

BETONG, Khamis (5 Nov) – Permintaan kenaikan elaun Tuai Rumah atau Ketua Kampung seperti mana yang di rayu oleh Persatuan Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili kelmarin harus dirujuk terlebih dahulu terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan tindakan lanjut.

Terdahulu Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili, Kanselor Tuai Rumah Roy Edward Entalai sebelum ini telah merayu pihak Kerajaan Negeri untuk menaikkan bayaran elaun Tuai Rumah atau Ketua Kampung yang sedia ada sekarang untuk mengelakkan mereka dikategorikan sebagai golongan Miskin Tegar selepas ini.

“Kita tidak dapat mempastikan bahawa bayaran elaun kepada Tuai Rumah atau Ketua Kampung pada masa sekarang akan menyebabkan mereka dikategorikan dalam golongan Miskin Tegar.

“Bayaran elaun itu untuk membolehkan mereka menjalankan tugas sebagai Ketua Kampung atau Tuai Rumah. Bagaimanapun rayuan mereka ini akan kita rujuk kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tujuan lanjut,”demikian menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Augustine Betong di sini hari ini.

Selain itu Jabu juga mahu Persatuan Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili terus bersabar untuk menunggu maklumbalas lanjut daripada pihak kerajaan berhubung perkara kenaikan bayaran elaun terhadap mereka selepas ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin ada menegur Ceupacs kerana meminta mendapatkan bonus pada masa kerajaan sedang bergelut untuk keluar dari kemelesatan ekonomi sekarang.

“Justeru saya berharap agar persatuan terbabit dapat mendengar nasihat Perdana Menteri kita berhubung hal itu selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik dan Pengetua SMK Saint Augustine Betong, Paul Langgang.

Seramai 88 orang pelajar Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 SMK Saint Augustine Betong menerima sijil dan hadiah menerusi majlis berkenaan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment