Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 November, 2009

Hak membuat pilihan tentukan masa depan Sri Aman menjelang 2015


Caption: RASMI...Shamshuddin sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian salah sebuah kaunter promosi produk bersempena dengan majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Ahad (15 Nov) – Hak membuat pilihan dikalangan usahawan tempatan dari Sri Aman adalah amat penting bagi menentukan masa depan pembangunan bandar mereka ini menjelang tahun 2015.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata hak membuat pilihan ini dianggap amat penting memandangkan Bandar Sri Aman ingin mencapai sasaran untuk muncul sebagai pusat pelancongan alam semulajadi dan hab pengeluaran produk pertanian serta makanan yang terkemuka di negeri ini menjelang tahun terbabit.

“Oleh itu dua sasaran ini dirangka bagi mengubah status Bandar Sri Aman menjelang tahun 2015 setelah bandar ini dianggap sebagai ‘Sleeping Town’ atau ‘Bandar Tidur’ oleh kebanyakkan pihak sebelumnya.

“Justeru kejayaan matlamat ini bergantung kepada usahawan tempatan kita menerusi hak pilihan masing-masing sama ada mahu mengangkat produk berasaskan pelancongan, makanan dan pertanian selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selaku mewakili Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani Karim untuk merasmikan Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia anjuran Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya Sri Aman juga mempunyai banyak produk berasaskan pelancongan atau makanan yang boleh diketengahkan untuk tujuan itu antaranya ialah Benak, Empangan Hidroelektrik Batang Ai, Ikan Tapah dan Ikan Terubuk.

Malahan untuk memperhebatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat ini, kerajaan kata Shamshuddin juga bercadang untuk mewujudkan kawasan alam semulajadi bagi tujuan pemuliharaan buaya di kawasan Pulau Seduku, Lingga.

“Lagipun buah Dabai dan Ikan Bulu misalannya boleh dijadikan sebagai produk makanan popular. Buah Dabai mungkin boleh diolah menjadi Jeruk Dabai atau pun Dabai Masin seperti juga Ikan Bulu Masin.

“Seperti yang saya katakan tadi semua bergantung kepada pilihan usahawan mereka. Jika mereka bijak mencari peluang untuk meneroka produk itu maka saya yakin status Bandar Sri Aman akan berubah selepas tahun 2015 kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi jawatankuasa seminar, Felicia Tan, Ketua cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari, Pengerusi MAKSAK Wanita Sri Aman, Donna Daud dan wakil Kementerian KPDNKK, Kasim Mana.

Seminar Kepenggunaan dan Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia yang telah bermula kelmarin diserikan dengan aktiviti seminar, pertandingan gubahan bunga, gerai kreatif, fotografi, kek lapis, andaman pengantin, hiasan kenderaan pengantin dan persembahan peragaan fesyen pakaian.

Tamat.


No comments:

Post a Comment