Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 November, 2009

Elaun Tr dan KK perlu dinaikan kata Roy Edward


Mugshot: ROY EDWARD ENTALAI

ENGKILILI, Rabu (4 Nov) - Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili, Tr. Roy Edward Entalai merayu kepada kerajaan agar menaikkan elaun para Tuai Rumah atau ketua kampung dalam negeri ini bagi mengelakkan mereka daripada dikategorikan sebagai golongan Miskin Tegar selepas ini.

Ini kerana beliau beranggapan bahawa elaun yang diterima oleh Tuai Rumah atau Ketua Kampung sekarang ini iaitu RM450 sebulan itu berada di bawah paras pendapatan bagi golongan Miskin Tegar iaitu RM700 sebulan.

“Tambahan pula elaun yang kami terima iaitu RM450 sebulan daripada kerajaan kini tidak mencukupi buat masa sekarang memandangkan tugas para Tuai Rumah atau Ketua Kampung sudah cukup mencabar buat masa ini.

“Oleh itu adalah cukup wajar sekiranya kerajaan meneliti semula pembayaran elaun terhadap Tuai Rumah atau Ketua Kampung selepas ini kerana adalah ‘tidak manis’ sekiranya ketua kaum seperti kami dikategorikan dalam golongan Miskin Tegar,” menurut beliau.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Lubok Antu berkata demikian ketika berucap pada Program Sepakat Bestari 2009 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Daerah Sri Aman / Lubok Antu bertempat di Rumah panjangnya, Kampung Selindung Ulu, Engkilili Sri Aman malam tadi.

Selain itu Entalai juga berharap agar masalah ini dibentang oleh para wakil rakyat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan mulai bersidang pada hari Isnin hadapan.

Ia menurut beliau amat penting agar kerajaan dapat mendengar masalah para Tuai Rumah atau Ketua Kampung yang dilema berhubung perkara bayaran elaun bulanan terbabit.

“Peraturan kerajaan sekarang menetapkan bahawa sebuah keluarga yang memperolehi pendapati kurang daripada RM700 ke bawah boleh dikategori sebagai golongan Miskin Tegar dan layak mendapat bantuan kerajaan.

“Justeru saya merayu agar kerajaan dapat mempertimbangkan perkara mengenai kenaikan bayaran elaun bulanan Tuai Rumah atau Ketua Kampung ini semasa persidangan DUN Sarawak pada Isnin ini,” kata beliau.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak Datuk Francis Harden anak Hollis.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr. Johnical Rayong anak Ngipa, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Bahagian Pembangunan), Felicia Tan, Pegawai Penerangan Bahagian, Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat Asson dan Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie.

Tamat….


No comments:

Post a Comment