Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 November, 2009

Bentuk anak jadi Ulat Buku nasihat Harden


Caption: TAHNIAH...Harden sedang menyampaikan sijil kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (20 Nov) – Anak-anak perlu dididik untuk menjadi golongan ‘ulat buku’ yang genap dari segala segi aspek demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau ibubapa pada masa sekarang cenderung untuk mendidik anak-anak untuk menjadi golongan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi pencapaian akademik tanpa mementingkan aspek lain.

“Selain akademik, golongan ulat buku ini juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan jasmani, emosi, rohani, intelektual, tahap disiplin yang tinggi, berketrampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik dan mampu memainkan peranan dalam masyarakat.

“Jika kesemua aspek ini diserap dalam golongan ulat buku maka tidak mustahil kerajaan mampu melahirkan golongan modal insan berkualiti tinggi menjelang tahun 2020 kelak,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah 2009 Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit di sini hari ini.

Selain itu katanya usaha terbabit juga selaras dengan dua daripada enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu Membina Negara Bangsa dan Membangunkan Modal Insan.

“PIPP merupakan wadah terbaik sebagai anjakan paradigma sistem pendidikan negara ke tahap lebih cemerlang pada peringkat tempatan dan global sekaligus menjadi pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

“Justeru saya menyeru semua pihak terutamanya ibubapa dan guru untuk membantu menjayakan usaha kerajaan dalam membentuk golongan ulat buku dikalangan anak-anak selepas ini,” katanya sambil menambah ia juga penting dalam menghadapi penguasaan dunia Teknologi Komunikasi dan Maklumat pada masa akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 13 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mejar Mohammad Fadzli Mat Idris, penolong pegawai pemerintahnya Mejar Jhamil Salim dan Guru Besar SK Pakit, Mohd Nasir Narawi.

Tamat.


No comments:

Post a Comment