Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 November, 2009

Ahli perniagaan jangan mudah terima anasir politik luar kata Talib


Caption: UNTUK ALBUM...Talib (duduk tengah) sambil diapit oleh Wahbi (kiri) dan Shamshuddin (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta PROSEB pada majlis itu kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (6 Nov) – Ahli perniagaan dalam negeri ini dinasihat agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir politik dari luar demikian menurut Pengerusi Perbadanan Ekonomi Sarawak (PPES), Datuk Haji Talib Zulpilip.

Ini kerana kehadiran anasir politik dari luar ini menurut beliau hanya bertujuan untuk mengganggu gugat kestabilan politik negeri Sarawak yang sekian lama kukuh hasil kebijaksanaan pemimpin politik Barisan Nasional (BN) di sini.

“Jika mereka (ahli perniagaan) mempunyai semangat cintakan negeri maka tolaklah kehadiran kumpulan anasir politik itu kerana membantu memperkembangkan ekonomi negeri adalah lebih bermakna daripada bersekongkol dengan mereka untuk menumbangkan Kerajaan Negeri yang sedia ada sekarang,” katanya.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Keusahawanan serta Penyampaian Surat Tawaran Peralatan dan Modal Perniagaan Program Sejahtera Ekonomi Bandar (PROSEB) di sini petang kelmarin.

Selain itu beliau juga menegaskan bahawa kriteria untuk menjadi usahawan berjaya bergantung kepada aspek menitikberatkan budaya keusahawanan iaitu disiplin dalam menepati permintaan pelanggan, menjaga kualiti produk atau perkhidmatan yang diberikan dan juga menjaga hubungan baik dengan pelanggan masing-masing.

Tiga faktor ini kata Talib akan membolehkan individu itu muncul sebagai seorang usahawanan yang berjaya dalam mengubah kehidupan keluarganya disampung menjadi kebanggaan PPES.

“Malahan usahawan mestilah bersikap berani untuk bersaing dalam dunia perniagaan dengan tekad yang tinggi untuk berjaya dalam menjalankan perniagaan masing-masing selepas ini.

“Justeru para usahawan terutamanya peserta PROSEB yang mendapat bantuan daripada kerajaan haruslah bersyukur dan menggunakan bantuan yang diterima oleh mereka selepas ini dengan penuh bertanggungjawab,” kata beliau.

Hadir sama ialah ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi dan Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Seramai 28 orang peserta dari bandar ini telah menyertai kursus PROSEB yang berlangsung selama dua hari bertempat di bilik mesyuarat sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman ini.

Kesemua peserta yang mengikuti kursus ini telah diberi bantuan dalam bentuk peralatan bernilai RM3,500 dan juga peruntukan kewangan untuk modal perniagaan berbentuk geran berjumlah RM3,000.

Tamat.


No comments:

Post a Comment