Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 November, 2009

1,516 penduduk miskin tegar di Sri Aman / Lubok antu kata Felicia


Caption: TAHNIAH...Felicia (tengah) sedang menyampaikan sijil tamat kursus kepada peserta sambil disaksikan oleh (dari kanan) Nazib, Mujah dan Azman ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Selasa (3 Nov) – Sejumlah 1,223 penduduk daerah Lubok Antu manakala 293 orang lagi penduduk dari daerah Sri Aman dikategorikan sebagai golongan Penduduk Miskin Tegar pada masa sekarang demikian menurut Timbalan Residen Sri Aman (Bahagian Pembangunan Sosial), Felicia Tan.

Justeru pihak pejabat Residen Sri Aman akan terus bekerjasama dengan agensi atau jabatan kerajaan dalam daerah ini untuk mengeluarkan kesemua 1,516 orang individu terbabit untuk keluar dari kekangan golongan Penduduk Miskin Tegar selepas ini.

“Selain program perumahan penduduk Miskin Tegar yang dilaksana oleh pihak kita sebelum ini, Program Latihan Menjana Pendapatan (LMP) seperti yang dilaksana oleh pihak GIATMARA kini juga dilihat sebagai satu usaha untuk membasmi golongan Miskin Tegar sehingga ke paras sifar menjelang bulan Januari tahun hadapan.

“Ia sememangnya satu tugasan yang mencabar. Bagaimanapun saya yakin usaha bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan dalam menangani masalah ini akan mampu direlealisasi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan ‘Tool Kit’ Program LMP GIATMARA SRI AMAN dan GIATMARA Lubok Antu Siri 1 / 2009 (Program Pembasmian Kemiskinan) bertempat di sebuah hotel tempatan di sini hari ini.

Selain itu Felicia juga menasihatkan kesemua peserta Program LMP GIATMARA SRI AMAN dan GIATMARA Lubok Antu untuk terus memanfaatkan kemahiran baru yang mereka terima sebaik sahaja tamat kursus berkenaan.

Kesemua peserta terbabit menurut beliau perlu bijak mencipta kreativiti dalam kemahiran masing-masing sebelum mula menceburi diri dalam bidang perniagaan masing-masing selepas ini.

“Paling penting selepas kursus ini anda (peserta) perlulah menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna di sekeliling diri masing-masing.

“Jangan persia-siakan segala kemahiran yang anda pelajari sekarang memandangkan kerajaan telah berusaha sebaik mungkin bagi membolehkan penduduk Miskin Tegar keluar dari kekangan masalah hidup mereka selama ini,” menurut beliau.

Hadir sama Pengurus Negeri GIATMARA Sarawak, Kapten (Bersara) Haji Azman bin Haji Abdul Samad, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengurus GIATMARA Sri Aman / Lubok Antu, Mohammad Nazib bin Pabeli, para pengerusi dan kakitangan GIATMARA dari lain-lain cawangan dalam negeri ini.

Seramai 60 orang individu dari Sri Aman dan Lubok Antu yang berdaftar dalam sistem e-kasih sebelum ini telah menjalani kursus Menggunting Rambut Lelaki dan Pembuatan Kek Lapis Sarawak selama enam hari bermula 29 Oktober lalu.

Program LMP GIATMARA SRI AMAN serta GIATMARA Lubok Antu Siri 1 / 2009 ini menelan kos sebanyak RM220,000 dan merupakan program yang Ke-28 diadakan dalam seluruh negeri Sarawak.

Tamat.


No comments:

Post a Comment