Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 October, 2009

Tubuhkan IKS hasilkan satey di Kpg Masjid Baru- Noren


Caption: TAHNIAH...Shamshuddin (tengah) menyampaikan hadiah kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh Abang Noren (tiga kanan), Malaysia (dua kanan) dan Zaidi (tiga kiri) ketika berlangsungnya majlis pada malam Isnin lepas.

SRI AMAN, Rabu (21 Okt) – Kampung Masjid Baru, Sri Aman berpotensi dijadikan sebagai pusat pengeluaran produk makanan berupa Satey di dalam Bahagian Sri Aman ini.

Oleh yang demikian Ketua Kampung Masjid Baru, Abang Noren bin Abang Naruddin mencadangkan agar diwujudkan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang berkaitan dengan pengeluaran makanan Satey di kampung berkenaan selepas ini.

“Kampung Masjid Baru hanya merupakan satu-satunya kampung yang mempunyai para peniaga yang mengusahakan perniagaan jualan Satey Ayam atau Daging di bandar Sri Aman ini semenjak 30 tahun lalu.

“Saya percaya Satey dari Kampung Masjid Baru boleh ditukarkan kepada satu produk niaga yang mampu diketengahkan menerusi pasaran dalam atau luar dari kawasan bandar Sri Aman sekiranya kerajaan bertindak menubuhkan IKS di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1430 H / 2009 yang berlangsung di kediaman Ketua Kampung Abang Noren bin Abang Naruddin, Kampung Masjid Baru malam Isnin lalu.

Noren juga yakin bahawa IKS di Kampung Masjid Baru boleh menghasilkan produk makanan Satey yang berkualiti memandangkan terdapat lebih 10 orang peniaga makanan dari kampung berkenaan yang telah mewarisi cara penghasilan secara turun-temurun dari orang tua mereka selama ini.

“Kampung Masjid Baru juga merupakan pusat tempatan Satey untuk mana-mana majlis rasmi atau keramaian dalam bandar ini dan justeru itu adalah lebih sekiranya para peniaga kampung ini diberi peluang untuk mengusahakan produk terbabit menerusi penubuhan IKS,” katanya.

Terdahulu Nur Maisarah Ishak telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pakaian Hari Kanak-Kanak yang diadakan pada majlis itu.

Hajah Aisah binti Mat pula muncul pemenang Pertandingan Ratu Veteran Hari Raya manakala Nurul dan Mokthar muncul pemenang Pertandingan Karaoke Duet bagi majlis berkenaan. Sani Halim muncul sebagai peserta bertuah apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Karaoke Solo pada majlis itu.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, pengerusi majlis, Abang Noren Abang Naruddin, Pengerusi PPWS Kampung Masjid Baru, Malaysia Murshidi, Penghulu Abang haji Mohd Salleh, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai JASA Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidi Haji Ripin, para wakil jabatan dan penduduk tempatan di sini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment