Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 October, 2009

Snowdan turun padang bantu keluarga miskin di Simunjan


Caption:MANFAATKAN...Snowdan (tengah) serta persatuan dari Serian sedang memberi bantuan kepada Mokthar (kiri beliau) serta keluarga di kediaman Tuai Rumah Sepit baru-baru ini.

SIMUNJAN, Jumaat (23 Okt) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan telah turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga Mokthar Abdullah dari Kampung Spaoh Raba, Simunjan yang dilanda masalah kemiskinan tegar sebelum ini.

Beliau yang menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan, pakaian dan alat-alat sekolah kepada Mokthar dan lima orang anaknya itu turut membawa bersama Persatuan Chen Foh Chong Serian, Persatuan Buddist Serian, Persatuan Lions Club Serian dan Johor untuk menemui keluarga terbabit.

Malahan empat orang individu persendirian juga turut menghulurkan sedikit bantuan berupa wang kepada keluarga Iban muslim berkenaan yang mana kisah mengenai masalah kemiskinan mereka ini pernah diterbitkan dalam akhbar tempatan pada 24 September lalu.

“Keluarga ini terdiri dalam kategori miskin tegar dan tinggal dalam rumah yang usang. Justeru saya akan memastikan mereka layak mendapat bantuan berupa Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika menyampaikan bantuan terbabit baru-baru ini.

Beliau pada masa yang sama juga mendapati bahawa masih terdapat tiga orang penduduk warga emas dari kampung terbabit yang masih belum mendapat bantuan kebajikan semenjak bulan Mei 2009.

Atas sebab ini Snowdan berkata bahawa beliau akan bertindak untuk mendapatkan maklumat serta maklum balas daripada jabatan yang berkenaan sekiranya timbul masalah teknikal atau lain-lain faktor berhubung perkara itu.

“Saya juga akan bertindak mendapatkan senarai kebajikan, PPRT dan lain-lain senarai bantuan yang lengkap untuk kawasan DUN Balai Ringin ini daripada pejabat daerah atau pun daripada pejabat yang berkaitan untuk makluman saya selepas ini,” katanya.

Terdahulu Mokhtar atau nama sebenarnya sebelum memeluk Islam iaitu Mathew anak Dana, 43, terpaksa mengutamakan keperluan sara hidup lima orang anaknya dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan selama ini setelah ditinggalkan oleh isterinya kira-kira tujuh bulan lalu.

Beliau mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyara hidup empat orang anaknya iaitu Helmy, 18, Ira Fanzira, 14, Florina, 12, Khairul Faizal, 10 walaupun anak perempuan keduanya iaitu Flora, 16, sudah berkahwin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment