Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 October, 2009

Saya akan buat yang terbaik - Uggah


SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas akan cuba mendapatkan maklumbalas daripada semua wakil rakyat dalam negeri ini berhubung isu yang melanda penduduk bumiputera Sarawak sebelum ini.

Menurut beliau hasil maklumbalas daripada kesemua wakil rakyat ini adalah amat penting bagi membolehkan beliau mengutarakan isu dan langkah penyelesaiannya selepas ini pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet yang telah ditubuhkan oleh pihak Kerajaan Pusat sebelumnya.

“Aspek pendidikan, penyediaan kemudahan inftrastruktur dan peningkatan taraf hidup dijangkakan menjadi isu utama dalam pembangunan hidup penduduk bumiputera dalam negeri ini.

“Justeru menerusi maklumbalas itu kelak, saya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengutarakan isu terbabit pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet selepas ini bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Selain itu penubuhan jawatankuasa khas kabinet oleh pihak Kerajaan Pusat sebelum ini kata Uggah dilihat sebagai usaha komited Barisan Nasional dalam merapatkan jurang pembangunan di antara penduduk dalam kawasan bandar serta luar bandar dalam negeri ini.

Usaha ini menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Betong dianggap sejajar dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia menerusi slogannya Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Saya akan melaksanakan tugas saya dengan sebaik yang mungkin sebagai salah seorang ahli jawatankuasa khas kabinet terbabit demi menyelesaikan isu pembangunan penduduk bumiputera Sarawak,” katanya.


Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman web malaysianmirror.com pada 17 Oktober lalu dikatakan bakal mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet ini bagi memperkenalkan dasar dan memantau progres pembangunan terhadap penduduk bumiputera di Sabah serta Sarawak.


Jawatankuasa khas kabinet ini turut disertai oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi iaitu Tan Sri Bernad Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Tamat.


No comments:

Post a Comment