Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 October, 2009

Pesta Air Krian, Saratok 31 Okt - 2 Nov ini

SRI AMAN, Selasa (27 Okt) - Bandar Saratok akan menjadi tumpuan para pengunjung dari dalam dan luar negara apabila berlangsungnya Pesta Air, Sungai Krian, Saratok bermula dari 31 Oktober hingga 2 November ini.

Pegawai Daerah Saratok merangkap Timbalan Pengerusi Pengelola, Daniel Supit menerusi kenyataannya memberitahu, pesta edisi ke-7 ini nanti bakal menampilkan pelbagai acara menarik antaranya ialah Rakit Safari, Lumba Perahu, pertandingan memancing, persembahan kebudayaan, sukan rakyat dan jualan hasil pertanian.

“Pesta Ria, persembahan artis tempatan, karnival ketua masyarakat malam kebudayaan, regatta (lumba perahu), pertandingan menyumpit, mini ekspo perdagangan, pameran pembangunan, pertandingan pangkah gasing, pertunjukkan bunga api dan jualan hasil tani juga acara yang bakal diadakan pada pesta ini nanti,” katanya.

Dengan mengekalkan tema 'Air Dicincang Tidak Akan Putus', kemuncak pesta itu nanti menurut Daniel bakal menyaksikan saingan pertandingan lumba perahu untuk sakai 10, 15, 29, 25 dan 30 (kategori lelaki dan wanita) bagi merebut piala Datuk Peter Nyarok Enteri, Yang Berhormat Abdul Wahab Aziz dan Yang Berhormat Jelaing Mersat.

Turut diadakan menurut beliau juga ialah perlumbaan enjin sangkut dan enjin pam bagi lima, enam dan 15 kuasa kuda disamping berlangsungnya acara seperti trade fair bertempat di Dewan Masyarakat Saratok itu nanti.

“Justeru diharap agar Pesta Air, Sungai Krian, Saratok dapat menarik kedatangan ribuan orang pengunjung bagi memperkenalkan Saratok sebagai salah satu destinasi pelancongan yang popular di negara ini,” katanya.

Majlis Perasmian Pesta ini nanti akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Pembangunan Infrastruktur, Perhubungan dan Luar Bandar, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Sambutan Pesta Air, Sungai Krian, Saratok terlebih dahulu telah dimeriahkan lagi dengan penganjuran Festival Saratok yang berlangsung dari 2 Oktober lalu sehingga ia bakal berakhir pada 1 November ini.

Tamat...

No comments:

Post a Comment