Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 October, 2009

Peruntukan Bajet 2010 perlu diguna 'SEBAIK' nya kata Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Ahad (25 Okt) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berharap agar peruntukan untuk membina kemudahan jalan perhubungan di Sarawak dapat diguna dengan sebaik yang mungkin serta disalurkan dalam masa terdekat kelak.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat lepas mengumumkan bahawa sejumlah RM857 juta untuk membina jalan perhubungan sepanjang 510 kilometer dan 316 kilometer bagi jalan kampung yang turut mencakupi kawasan Kapit, Lawas dan Simunjan, Sarawak.

“Peruntukan itu wajar digunakan untuk kawasan yang telah lama menanti peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membina jalan raya berturap disamping memperbaiki semula laluan jalan raya yang benar-benar rosak teruk sebelum ini.

“Kalau boleh peruntukan itu tidak perlu diguna untuk membaiki jalan raya berturap yang hanya mengalami kerosakan kecil kerana ia akan hanya menguntungkan golongan kontraktor disamping merugikan rakyat itu sendiri,” menurut beliau sambil menambah bahawa ia boleh melambatkan proses pembangunan di kawasan itu.

Pengunaan peruntukan bagi tujuan pembinaan jalan perhubungan kata Snowdan perlulah lebih efisien dan mendatangkan keuntungan terhadap rakyat serta kontraktor yang melaksanakan kerja berkenaan.

Dengan berbuat demikian menurut Snowdan, barulah slogan ‘Rakyat Didahulukan, Percapaian Diutamakan’ benar-benar terserlah menerusi perlaksanaan konsep 1Malaysia di negara ini.

Selain itu beliau juga berharap agar peruntukan ini dapat diagih ke kawasan DUN Balai Ringin bagi tujuan pembinaan jalan perhubungan di sini khususnya bagi kawasan Jalan Kedumpai – Mentu yang masih lagi belum berturap.

Projek pembinaan jalan raya berturap sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan kawasan Kedumpai hingga Mentu di Simunjan itu menurut Snowdan memerlukan kos sekurang-kurangnya RM30 juta.

Lain-lain kawasan dalam DUN Balai Ringin menurut beliau iaitu kawasan Batang Strap, Pantu contohnya juga memerlukan peruntukan bagi tujuan projek naik taraf jalan raya demi kemudahan penduduk dalam kawasan terbabit.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2010 ini memandangkan ia secara tidak langsung telah menyerlahkan perlaksanaan Konsep 1Malaysia dalam negara ini.

“Justeru diharap agar Bajet 2010 terbabit mampu mengubah wajah pembangunan di Sarawak disamping mengembirakan hati semua rakyat Bumi Kenyalang dari seluruh pelusuk kawasan selepas ini,” menurut Snowdan.

Beliau juga menambah bahawa Sarawak adalah merupakan sebuah negeri yang luas dan layak mendapat agihan yang banyak bagi tujuan pembangunan menerusi pembentangan Bajet 2010 terbabit.

Tamat.


No comments:

Post a Comment