Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 October, 2009

Orang kampung sasaran peniaga jual produk luput tarikh - Mong


Caption: MANFAATKAN….Mong (tiga kiri) bergambar bersama lima orang Tuai Rumah yang menerima cek peruntukan pada majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (25 Okt) – Penduduk luar bandar berisiko menjadi sasaran mudah oleh pihak peniaga tidak bertanggungjawab yang memikirkan mereka selama ini buta huruf dan kurang berpengetahuan tentang barang makanan yang masih boleh dimakan atau tidak.

Atas sebab terbabit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang melahirkan rasa bimbang sekiranya terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan menjual barang makanan sudah luput tarikh guna terhadap penduduk dalam kawasan luar bandar di sini.

“Justeru saya menasihatkan penduduk luar bandar agar bertindak melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepengunaan dan Koperasi (KPDNKK) sekiranya terdapat peniaga yang menjual barang makanan melebihi tarikh luput guna dalam kawasan masing-masing selepas ini,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kepentingan anjuran KPDNKK bersama Koperasi SK Melugu bertempat di dewan sekolah terbabit malam ini.

Menurut beliau barang makanan yang sudah melebihi tarikh luput guna akan menjadi beracun dan dikhuatiri boleh memberikan ancaman kesihatan terhadap penduduk yang menggunakan barangan tersebut.

“Makanan dalam tin yang sudah remuk juga amat berbahaya sekiranya dimakan. Jangan mudah diperdaya dengan jualan harga yang murah terhadap barangan makanan yang sudah luput tarikh guna kerana kesihatan adalah perkara no.1 dan bukannya keuntungan peribadi,” kata Mong.

Selain itu beliau juga mahu penduduk bertindak segera melapor kepada pihak KPDNKK sekiranya terdapat peniaga runcit di kawasan luar bandar yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum syiling seperti yang tersenarai dalam Skim Kawalan Harga sebelum ini.

Terdahulu Mong menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada lima buah rumah panjang di kawasan Skim Melugu yang mencatat nilai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Lima buah panjang terbabit adalah JKKK Tr Mail Deling, Melugu (RM5,000), JKKK Tr Wilson Bana, Po-Ai (RM2,000), JKKK Tr Gaik, Melugu (RM2,000), JKKK Tr Jumat, Po-Ai Enggat (RM3,000) dan JKKK Tr Mamba, Melugu (RM3,000).

Tamat.

No comments:

Post a Comment