Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 October, 2009

Mentali ibubapa perlu berubah - Snowdan


Caption: RASMI...Snowdan (tengah) sedang menyempurnakan upacara sepak mula perlawanan bolasepak yang diadakan bersempena sukan tahunan sekolah berkenaan baru-baru ini.

SIMUNJAN, Khamis (8 Okt) – Mentali ibubapa harus berubah jika mahu melihat keseimbangan prestasi anak-anak dari segi akademik, kokurikulum dan sukan demikian nasihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan.

Ini kerana terdapat sesetengah golongan ibubapa yang hanya anak masing-masing fokus kepada bidang akademik dan seterusnya mengabaikan tumpuan anak-anak dalam bidang kokurikulum dan sukan.

“Sebenarnya ketiga-tiga bidang ini iaitu akademik, kokurikulum dan sukan mempunyai hubungkait yang amat penting bagi mewujudkan golongan individu cemerlang serta berdaya saing tinggi di masa akan datang.

“Justeru dari mengkehendaki anak-anak fokus dalam bidang akademik maka adalah amat penting juga sekiranya ibubapa mengalakkan anak masing-masing untuk bergiat aktif dalam bidang kokurikulum serta sukan,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sukan Tahunan anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pinang, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu katanya gerak kerja kokurikulum dan sukan juga secara tidak langsung melatih para pelajar supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, berdisplin dan berkemahiran dalam sesuatu lapangan yang mereka sertai.

“Pendidikan yang seimbang serta sempurna sentiasa memberi penekanan kepada ketiga-tiga aspek ini iaitu penglibatan para pelajar menerusi bidang akademik, gerak kerja kokurikulum dan sukan.

“Lagipun Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas sekali menyatakan bahawa pendidikan adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan pontensi individu (pelajar) secara bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan lengkap dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani,” katanya.

Justeru Snowdan berharap agar para pelajar melibatkan diri dengan lebih aktif dalam pelbagai bidang kokurikulum demi mewujudkan keseimbangan lebih menyeluruh terhadap penguasaan bidang akademik dan kokurikulum di negeri ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua SK Sungai Pinang, Jonathan Derang, Guru Besar SK Sungai Pinang, Encik Mahdi dan Penolong Kanan 1 sekolah berkenaan iaitu Joseph Joo.

Beliau menerusi majlis penutupan rasmi kejohanan sukan tahuan berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada PIBG SK Sungai Pinang.
Tamat.


No comments:

Post a Comment