Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 October, 2009

JobsMalaysia center akan dibuka di Sarawak kata August Buma


Caption: RASMI...Masir sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh (dari kiri) August, Bruno, Zaidi dan Barnabas ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (10 Okt) – Jobsmalaysia Center buat julungkali akan mula beroperasi di Sarawak pada penghujung tahun ini demikian menurut Timbalan Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, August Buma.

Menurut beliau Jobsmalaysia Center terbabit akan memulakan operasinya di bangunan Tun Jugah, Kuching sekurang-kurangnya bulan Disember dan sekaligus memudahkan para pencari kerja mencari pekerjaan masing-masing selepas ini.

“Ia juga boleh memudahkan majikan syarikat mencari pekerja yang dikehendaki. Sambil didokong oleh enam orang kakitangan dari pejabat buruh, Jobsmalaysia Center ini juga turut memberi bimbingan kerjaya terhadap pencari kerja di sini.

“Bagi memantapkan lagi operasi Jobsmalaysia Center ini pihak kita juga menubuhkan Jobsmalaysia Center Point di setiap pejabat Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dalam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja selesai Majlis Perasmian Program Penempatan Pekerjaan Bahagian Sri Aman 2009 anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sarawak , Kementerian Sumber Manusia di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu kata August, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak juga bakal mempunyai lima pejabat baru dalam negeri ini iaitu di Kota Samarahan, Betong, Saratok, Mukah dan Lawas.

“Pejabat Tenaga Kerja Sarawak di Kota Samarahan sudah pun beroperasi pada bulan September lalu. Justeru apabila lima pejabat cawangan ini sudah beroperasi kelak maka Jabatan Tenaga Kerja Sarawak akan mempunyai 16 cawangan pejabat dalam seluruh Sarawak,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat telah merasmikan program penempatan pekerjaan menerusi majlis itu yang telah menawarkan sejumlah 750 peluang pekerjaan kepada pencari kerja di bandar ini.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Barnabas anak Ahjam, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Bahagian Sri Aman, Bruno Jong Kim Wong dan wakil Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi.

Program Penempatan Pekerjaan Bahagian Sri Aman 2009 yang bakal berakhir pada jam 2 petang 11 Oktober ini membabitkan penyertaan sejumlah tujuh buah jabatan kerajaan dan 14 buah syarikat swasta.

Tamat.

No comments:

Post a Comment