Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 October, 2009

Isu Marina : "kita akan cuba teliti' kata Jabu

BETONG, Khamis (29 Okt) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata bahawa beliau akan meneliti secara terperinci terlebih dahulu kes seorang pelajar perempuan dari Sri Aman yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini.

Terdahulu pelajar aliran sains dari SMK Simanggang iaitu Marina anak Unau, 18, yang memperoleh keputusan 9A 1B menerusi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 iaitu gagal menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi kerana dianggap Bukan Bumiputera berdasarkan kepada tarif perkara 161A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa jika bapa dan ibu adalah seorang pribumi Sarawak maka anaknya adalah seorang Bumiputera.

Marina adalah anak kedua hasil perkongsian hidup antara Unau anak Liap (bapa) yang berketurunan kaum Iban dan ibunya , Wong Pick Sing berketurunan kaum Cina. Isu mengenai masalah tersebut telah pun disiarkan di akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada hari ini.

“Saya harus meneliti terlebih dahulu perkara ini dan akan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pelajar itu sendiri (Marina) untuk mendapatkan kisah sebenarnya mengenai masalah berkenaan.

“Selepas kajian terperinci mengenai masalah ini dibuat maka barulah kita akan menentukan sama ada perkara ini harus dibawa ke peringkat yang lebih tinggi atau tidak,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Bahagian Betong bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Betong di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa akan melakukan usaha yang terbaik bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan permasalahan pelajar SMK Simanggang terbabit selepas ini.

Marina, gadis kacukan Iban dan Cina kini menyambung pelajarannya ke Tingkatan 6, SMK Simanggang setelah gagal menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini. Beliau mempunyai seorang kakak iaitu Christina yang kini merupakan pelajar Tahun 2 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sementara itu tarif Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi Semenanjung Malaysia menyatakan bahawa “Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Orang Asli sepertimana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan: maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Manakala itu bagi Sabah ; jika bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/ Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan: maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Tamat.




No comments:

Post a Comment