Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2009

Bahas isu Marina di parlimen - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan cek kepada penerima ketika berlangsungnya majlis itu di sini hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (30 Okt) – Kerajaan Negeri perlu mengemukakan isu mengenai status Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi penduduk negeri Sarawak terhadap pihak Kerajaan Pusat untuk diperbahaskan di Dewan Rakyat selepas ini.

“Jika Kerajaan Negeri mahu berbuat demikian maka sekarang adalah masanya. Isu status Bumiputera dan Bukan Bumiputera bagi penduduk negeri Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selama ini perlu disemak atau diteliti semula.

“Perkara ini harus diselesaikan cepat agar masalah yang menimpa Marina Unau, pelajar perempuan dari Sri Aman berdarah kacukan Iban Cina yang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi disebabkan perkara terbabit tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bertempat di Gereja Methodist, Sri Aman di sini hari ini.

Gereja Methodist Shi Eng dan Gereja Methodist Sing Eng masing-masing menerima cek bernilai RM3,000 pada majlis itu manakala Methodist Senior Fellowship pula menerima cek bernilai RM2,000.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa kegagalan Marina untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini mungkin disebabkan oleh berlakunya kesilapan ketika proses pemilihan pelajar.

Ini kerana kakak kepada pelajar perempuan terbabit iaitu Christina kata Harden dapat menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang setelah menjalani pengajian di peringkat matrikulasi sebelumnya.

“Mungkin pihak Kementerian Pelajaran Malaysia boleh meneliti semula perkara ini kerana bimbang isu yang sama mungkin akan terjadi lain-lain pelajar berketurunan kacukan seperti Marina selepas ini,” katanya.

Marina, pelajar SMK Simanggang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera mengikut tarif yang diperuntukkan menerusi Perkara Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) bagi negeri Sarawak.

Marina adalah merupakan hasil perkongsian hidup Unau anak Liap, penduduk berketurunan Iban dari Batu Lintang, Sri Aman dan isterinya iaitu Wong Pick Sing berketurunan kaum Cina.

Tamat.


No comments:

Post a Comment