Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 October, 2009

Anak muda harus hindari anasir jahat kata Masir




Caption:

1.RASMI...Masir ketika sedang menyempurnakan simbolik perasmian kejohanan sukan berkenaan dengan menyalakan obor di SK Saint Martin baru-baru ini.

2.UNTUK ALBUM...Pasukan SK Selanjan merakamkan gambar kenangan bersama guru pengiring masing-masing sebaik sahaja selesai kejohanan berkenaan baru-baru ini.

PANTU, Isnin (19 Okt) – Anak muda harus menjauhkan diri daripada anasir-anasir jahat yang boleh menggugat masa depan hidup mereka, demikian nasihat Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti jenayah dan kurang bermoral akibat pengaruh anasir jahat selama ini menurut beliau nyata amat membimbangkan semua pihak yang mahu agar golongan itu menjadi barisan pemimpin pembangunan negara di masa akan datang.

“Anak muda adalah permata negara di masa akan datang. Jika masalah pembabitan anak-anak muda dalam jenayah makin berleluasa maka dikhuatiri bahawa negara bakal menghadapi masalah kekurangan modal insan berkualiti di masa akan datang

“Justeru adalah menjadi peranan semua pihak terutamanya pihak ibubapa dan guru untuk memantau perkembangan aktiviti anak-anak terutama sekali ketika mereka berada di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Zon Pantu bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Martin, Lancau dalam kawasan daerah Pantu, Sri Aman pada hari Jumaat lalu.

Selain itu Masir juga menyarankan agar setiap keluarga di Sri Aman ini untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang berijazah bagi memantapkan lagi proses pembangunan negara selepas ini.

“Semakin ramai semakin baik. Oleh itu saya berharap agar negara tidak ketandusan golongan generasi baru yang berkualiti sekiranya setiap keluarga masing-masing memiliki ahli keluarga berijazah di masa hadapan,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiai, Yang Dipertua PIBG SK Saint Martin, Rentap Asin, Guru Besar SK Saint Martin, John Asir, Ketua Unit HEM Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman, Mohd Yusop Lugom dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sri Aman, Louis Aom.

Sekolah Kebangsaan Pantu muncul sebagai juara Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Zon Pantu ini. Kedudukan naib johan pula telah disandang oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Bangkong, Pantu manakala tempat ke-3 dana ke-4 dalam kejohanan ini masing-masing disandang oleh SK Jaong dan SK Selanjan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment