Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 October, 2009

Ada yang tak betul dalam PBB Simanggang - Sahmat


Caption: INI DIA...Sahmat ketika menunjukkan laporan polis kepada pihak media berhubung isu terbabit hari ini.

SRI AMAN, Rabu (7 okt) – Mantan Naib Pengerusi bagi cawangan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) N.27 Simanggang (penggal 2006 / 2009) Dr Abang Sahmat Abang Mahsen mendedahkan bahawa berlakunya ‘perkara yang tidak betul’ dalam parti cawangan terbabit selama ini.

Perkara tidak betul ini menurut beliau berlaku apabila seorang Penolong Setiausaha dalam cawangan PBB N.27 Simanggang berkenaan seolah-olah mempunyai ‘kuasa veto’ untuk melucutkan jawatan seorang Naib Pengerusi cawangan parti berkenaan iaitu beliau sendiri.

“Masalah ini bermula apabila Penolong Setiausaha cawangan parti berkenaan menerusi mesyuarat PBB yang berlangsung di Kuching pada Mac 2008 dahulu melaporkan bahawa saya telah menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan tidak lagi berada dalam PBB.

“Saya tidak pernah menyertai PAS sepertimana yang didakwa oleh beliau. Semenjak mesyuarat berkenaan saya tidak pernah lagi dipanggil dalam mana-mana aktiviti PBB dengan dakwaan kononnya saya telah dipecat dari parti,” menurut Sahmat tanpa menyatakan nama Penolong Setiausaha terbabit.

Beliau yang tampil menemui media hari ini mendakwa bahawa dirinya telah dihukum tanpa diadili sewajarnya oleh pihak berkenaan dan perkara ini berlarutan sehingga berlangsungnya mesyuarat perwakilan PBB N.27 Simanggang pada 4 Oktober lalu.

Disebabkan oleh isu terbabit Sahmat mendakwa bahawa reputasi dan namanya dalam PBB cawangan N.27 Simanggang telah tercemar disebabkan oleh tuduhan palsu yang sering dilemparkan terhadap beliau dikalangan ahli cawangan parti itu sehingga sekarang.

“Atas sebab ini saya telah bertindak membuat laporan di Balai Polis Sri Aman pada jam 10.31 pagi hari ini demi membersihkan semula nama saya berhubung isu yang berpunca dari tuduhan palsu ini.

“Jika tiada halangan saya bercadang untuk membawa perkara terbabit ke pihak mahkamah agar pihak yang bertanggungjawab mencemarkan nama saya selama ini dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” menurut beliau.

Justeru Sahmat berharap agar pihak yang berkaitan memberi perhatian serius terhadap masalah yang berlaku di dalam cawangan PBB N.27 Simanggang menerusi pendedahan perkara terbabit oleh pihak media selepas ini.

Terdahulu beliau yang juga merupakan seorang pekerja sosial dan pensyarah jemputan di Pusat Latihan Khidmat Negara Bukit Saban telah dipilih sebagai Naib Pengerusi PBB cawangan N.27 Simanggang bagi penggal 2006 / 2009.


Krisis terbabit telah menyebabkan beliau ‘menyepi’ sehinggalah beliau tampil semula untuk mendedahkan perkara sebenarnya yang berlaku di dalam cawangan parti berkenaan pada hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment