Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2009

Bahas isu Marina di parlimen - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan cek kepada penerima ketika berlangsungnya majlis itu di sini hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (30 Okt) – Kerajaan Negeri perlu mengemukakan isu mengenai status Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi penduduk negeri Sarawak terhadap pihak Kerajaan Pusat untuk diperbahaskan di Dewan Rakyat selepas ini.

“Jika Kerajaan Negeri mahu berbuat demikian maka sekarang adalah masanya. Isu status Bumiputera dan Bukan Bumiputera bagi penduduk negeri Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selama ini perlu disemak atau diteliti semula.

“Perkara ini harus diselesaikan cepat agar masalah yang menimpa Marina Unau, pelajar perempuan dari Sri Aman berdarah kacukan Iban Cina yang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi disebabkan perkara terbabit tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bertempat di Gereja Methodist, Sri Aman di sini hari ini.

Gereja Methodist Shi Eng dan Gereja Methodist Sing Eng masing-masing menerima cek bernilai RM3,000 pada majlis itu manakala Methodist Senior Fellowship pula menerima cek bernilai RM2,000.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa kegagalan Marina untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini mungkin disebabkan oleh berlakunya kesilapan ketika proses pemilihan pelajar.

Ini kerana kakak kepada pelajar perempuan terbabit iaitu Christina kata Harden dapat menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang setelah menjalani pengajian di peringkat matrikulasi sebelumnya.

“Mungkin pihak Kementerian Pelajaran Malaysia boleh meneliti semula perkara ini kerana bimbang isu yang sama mungkin akan terjadi lain-lain pelajar berketurunan kacukan seperti Marina selepas ini,” katanya.

Marina, pelajar SMK Simanggang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera mengikut tarif yang diperuntukkan menerusi Perkara Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) bagi negeri Sarawak.

Marina adalah merupakan hasil perkongsian hidup Unau anak Liap, penduduk berketurunan Iban dari Batu Lintang, Sri Aman dan isterinya iaitu Wong Pick Sing berketurunan kaum Cina.

Tamat.


29 October, 2009

Kerajan akan utara projek bina jalan baru dari sri aman - betong pada RMK10 kata Jabu


Caption: SERIUS...Jabu (kanan) ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Betong kelmarin.

BETONG, Jumaat (30 Okt) – Bandar Sri Aman dan Betong disifatkan sebagai ‘bandar yang terpisah’ berdasarkan kepada sistem perhubungan jalan raya (Jalan Kuching – Sri Aman – Betong) yang sedia pada masa sekarang demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Justeru Kerajaan Negeri menurut beliau akan membentangkan semula cadangan mengenai pelan pembinaan Jalan Sri Aman – Betong yang baru terhadap pihak Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 ini nanti.

“Cadangan mengenai pelan pembinaan jalan raya baru yang menghubungkan bandar Sri Aman dan Betong sebenarnya sudah dibincangkan bersama Ketua Menteri iaitu Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebelum ini.

“Bagaimanapun kos dan panjang sebenar bagi pembinaan jalan raya ini belum lagi dikenalpasti memandangkan kerajaan mahu projek itu nanti dapat memberi impak positif secara menyeluruh terhadap penduduk dari kedua-dua bandar (Sri Aman dan Betong),” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Bahagian Betong bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Betong di sini kelmarin.

Selain itu katanya cadangan mengenai pelan pembinaan jalan raya baru antara Sri Aman dan Betong itu juga turut melibatkan pembinaan jambatan.

“Saya yakin pelan ini akan membolehkan bandar Sri Aman dan Betong dilalui oleh semua penduduk dalam negeri ini sekiranya ia berjaya dilaksanakan pada masa akan datang,” kata Jabu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Romie Sigan Daniel dan para pegawai kerajaan di sini.

Terdahulu tiga cadangan telah diutarakan bagi tujuan pelan pembinaan jalan raya baru Sri Aman – Betong menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Bahagian Betong kelmarin.

Jabatan Kerja Raya menerusi salah satu cadangan pelan itu telah mencadangkan pembinaan jalan raya baru sepanjang 9.4 kilometer bermula dari Sungai Batang Lupar Sri Aman.

Pembentangan pada mesyuarat itu juga menunjukkan bahawa terdapatnya cadangan untuk membina sebuah lapangan terbang dan jambatan yang merentangi Sungai Batang Lupar dari bandar Sri Aman bagi menghubungkan bandar Betong menerusi jalan raya baru itu.

Tamat.

Penduduk Skrang disaran buka industri tanam cendawan - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (duduk tengah) bergambar kenangan bersama kakitangan Eastern Agrotech, ketua kaum dan penduduk sebaik sahaja selesai majlis itu.

SKRANG, Jumaat (30 Okt) – Penduduk Skrang, Engkilili disaran untuk menubuhkan Industri Penanaman Cendawan Tiram Kelabu dalam kawasan masing-masing selepas ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Beliau mengeluarkan saranan terbabit ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) N.28 Engkilili bertempat di Dewan Serbagunan Skim Skrang, Engkilili hari ini.

Menurut Rayong penubuhan industri cendawan terbabit dilihat mampu menjana pendapatan lumayan yang cepat dalam tempoh enam hari hingga dua bulan terhadap pengusaha itu sendiri berbanding lain-lain tanaman komersial yang sedia ada sekarang.

“Contohnya berdasarkan kepada harga pasaran sekarang iaitu RM18 hingga RM19 sekilogram, penggunaan lima ribu bongkah bagi tujuan penanaman Cendawan Tiram Kelabu itu dilihat mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.

“Saya percaya taraf hidup penduduk Skrang dapat dipertingkatkan selepas ini sekiranya setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari setiap kampung dalam kawasan Skrang dapat bersatu melaksanakan industri terbabit,” katanya.

Selain itu perolehan keuntungan yang besar menerusi projek industri cendawan berkenaan menurut Rayong boleh diraih sekiranya JKKK atau penduduk itu sendiri melabur di antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi tujuan berkenaan.

Justeru beliau berharap akan cuba menguruskan perkara ini dengan syarikat Eastern Agrotech sekiranya penduduk Skrang berminat untuk memulakan Industri Penanaman Cendawan Tiram Kelabu dalam kawasan masing-masing kelak.

Hadir sama ialah wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bahagian Sri Aman, Sarip Bada, para kakitangan syarikat Eastern Agrotech, ketua kaum dan penduduk dari kawasan Skrang.

Terdahulu penanaman Cendawan Tiram Kelabu boleh dilakukan menerusi bongkah yang diisi dengan tanah, baja dan benih cendawan itu sendiri.

Menerusi penjagaan yang rapi terhadap suhu, kelembapan udara dan cuaca, usaha penanaman Cendawan Tiram Kelabu ini boleh dilakukan dengan pembelian bernilai RM2 bagi setiap bongkah untuk tujuan itu.

Tamat.


Betong boleh jadi pusat wilayah Sarawak kata Jabu


Caption: BINCANG...Jabu (dua kanan) ketika sedang menyampaikan ucapan pada mesyuarat khas jawatankuasa terbabit hari ini. Turut kelihatan ialah (dari kiri) Rayong, Lawson dan Romie.

BETONG, Khamis (29 Okt) – Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yakin Betong mampu muncul antara pusat wilayah utama di Sarawak pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Bahagian Betong bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Betong di sini hari ini.

Menurut beliau ia berikutan kedudukan Betong yang terletak di antara laluan dari Sibu menuju ke Lubok Antu yang mana laluan terbabit menjadi penghubung di antara Sarawak dengan kawasan (Badau) Kalimantan Barat, Indonesia selama ini.

“Betong mampu muncul sebagai pusat wilayah tengah Sarawak kerana bandar akan menjadi pertembungan antara penduduk dari dua buah negara; penduduk yang datang dari arah Sibu dan penduduk dari Kalimantan, Indonesia.

“Justeru atas sebab ini saya berharap agar cadangan untuk membina Pusat Latihan Polis cawangan Sarawak berkeluasan 300 ekar dapat dibina di Betong bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di bandar ini pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata perlaksanaan projek pembangunan di Bahagian Betong dan Sri Aman boleh dirancakkan lagi dengan adanya kombinasi kerjasama yang kukuh di antara wakil rakyat dan pegawai kerajaan dalam kawasan terbabit.

Ini kerana wakil rakyat dan pegawai kerajaan merupakan kunci utama dalam memastikan kelancaran perlaksanaan sesebuah projek pembangunan dalam negeri ini khususnya di Bahagian Betong dan Sri Aman.

“Bahagian Betong khas bakal mengalami proses transformasi pembangunan yang rancak contohnya cadangan projek pembinaan politeknik di bandar Betong, pembinaan Tebingan Sungai Layar dan banyak lagi.

“Justeru jalinan kombinasi yang kukuh di antara wakil rakyat dan pegawai kerajaan di Bahagian Betong ini secara tidak langsung dapat memastikan kejayaan kesemua projek terbabit selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Romie Sigan Daniel dan para pegawai kerajaan di sini.

Mesyuarat khas yang bermula pada jam 10.30 pagi itu memberi fokus terhadap strategi pembangunan Bahagian Sri Aman / Betong, cadangan pembangunan, ulasan mengenai statistik penduduk dan perbincangan mengenai langkah mempertingkat Kadar Keluaran Dalaman Kasar bagi kedua-dua bahagin ini untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Tamat.


Isu Marina : "kita akan cuba teliti' kata Jabu

BETONG, Khamis (29 Okt) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata bahawa beliau akan meneliti secara terperinci terlebih dahulu kes seorang pelajar perempuan dari Sri Aman yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini.

Terdahulu pelajar aliran sains dari SMK Simanggang iaitu Marina anak Unau, 18, yang memperoleh keputusan 9A 1B menerusi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 iaitu gagal menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi kerana dianggap Bukan Bumiputera berdasarkan kepada tarif perkara 161A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa jika bapa dan ibu adalah seorang pribumi Sarawak maka anaknya adalah seorang Bumiputera.

Marina adalah anak kedua hasil perkongsian hidup antara Unau anak Liap (bapa) yang berketurunan kaum Iban dan ibunya , Wong Pick Sing berketurunan kaum Cina. Isu mengenai masalah tersebut telah pun disiarkan di akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada hari ini.

“Saya harus meneliti terlebih dahulu perkara ini dan akan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pelajar itu sendiri (Marina) untuk mendapatkan kisah sebenarnya mengenai masalah berkenaan.

“Selepas kajian terperinci mengenai masalah ini dibuat maka barulah kita akan menentukan sama ada perkara ini harus dibawa ke peringkat yang lebih tinggi atau tidak,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Bahagian Betong bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Betong di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa akan melakukan usaha yang terbaik bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan permasalahan pelajar SMK Simanggang terbabit selepas ini.

Marina, gadis kacukan Iban dan Cina kini menyambung pelajarannya ke Tingkatan 6, SMK Simanggang setelah gagal menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi pada tahun ini. Beliau mempunyai seorang kakak iaitu Christina yang kini merupakan pelajar Tahun 2 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sementara itu tarif Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi Semenanjung Malaysia menyatakan bahawa “Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Orang Asli sepertimana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan: maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Manakala itu bagi Sabah ; jika bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/ Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan: maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Tamat.




28 October, 2009

Isu: Marina Unau tak dapat masuk U sebab bukan Bumiputera


Caption: BUKAN BUMIPUTERA? Unau (kanan sekali) sedang menunjukkan surat maklumbalas berhubung isu terbabit ketika ditemui di kediamannya hari ini. Turut kelihatan ialah isteri beliau, Wong (kiri) dan anaknya Marina (tengah).

SRI AMAN, Rabu (28 Okt) – Seorang bapa, Unau anak Liap melahirkan rasa tidak puashati apabila anak perempuannya, Marina tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau Institusi Pengajian Tinggi pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera.

Marina, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada ujian SPM tahun lepas adalah merupakan anak kedua Unau hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau ketika ditemui oleh pemberita di kediamannya di Lorong 2, Pasir Panas hari ini berkata beliau telah mengemukakan rayuan menerusi sistem e-Rayuan apabila anak perempuan langsung tidak mendapat sebarang tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi atau IPT walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian terbabit.

“Saya kemudiannya mengemukakan masalah kegagalan anak saya untuk melanjutkan pengajian ke matrikulasi atau IPT terbabit dengan menghantar surat rasmi kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1 Julai tahun ini.

“Bagaimanapun menerusi surat maklumbalas yang dihantar oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri pada 21 Julai, anak saya Marina dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera kerana Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang Bumiputera jika ibu dan bapanya adalah merupakan seorang Peribumi Sarawak,” jelas beliau.

Ia menurut Unau berbeza dengan status kedudukan Bumiputera bagi pemohon dari Sabah dan Semenanjung Malaysia berbanding dengan status kedudukan Bumiputera di Sarawak.

Ini kerana menurut maklumbalas itu menyatakan bahawa bagi Semenanjung Malaysia: Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

“Bagi Sabah pula jika bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

“Tiada ertinya perlaksanaan konsep 1Malaysia jika perkara seumpama ini berlaku. Justeru saya berharap agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu pendidikan yang melibatkan soal status Bumiputera dan Bukan Bumiputera bagi seseorang individu di negara ini,” menurut Unau.

Walaupun anak keduanya Marina tidak layak menyambung pelajaran ke matrikulasi namun anak sulungnya menurut beliau iaitu Christina Undau telah pun berjaya menyambung pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang kini menuntut dalam Tahun 2 di situ.

“Saya sedar tiada gunanya masalah kegagalan anak saya iaitu Marina diselesaikan sekarang memandangkan dia kini sudah pun menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 SMK Simanggang.

“Cuma saya bimbang sekarang ialah sekiranya isu yang sama berulang kembali terhadap Marina sekiranya beliau lulus cemerlang dalam ujian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada tahun hadapan,” menurut beliau.

Unau bersama isteri sudah pun mengajukan masalah ini kepada Menteri Muda Kemajuan Tanah iaitu Datuk Francis Harden anak Hollis dan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berhubung isu terbabit.

Tamat.


Stesen Pemerhatian Benak jadi tumpuan penduduk


Caption: ASYIK..Para pengunjung kelihatan sedang menyaksikan kawasan Sungai Batang Lupar Sri Aman dari Stesen Pemerhatian Benak kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (27 Okt) – Stesen Pemerhatian Benak yang terletak di Jalan Astana kini menjadi lokasi kunjungan paling utama penduduk dalam bandar Sri Aman semenjak sebulan yang lalu.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak selama ini mendapati bahawa kawasan laluan Jalan Astana akan mula sesak bermula jam 5 petang pada setiap hari dengan kehadiran ratusan orang pengunjung yang ingin menyaksikan keunikan Sungai Batang Lupar di situ.

Malahan jumlah kehadiran pengunjung di situ akan bertambah lebih ramai sekiranya fenomena Benak diramal akan menyusuri Sungai Batang Lupar terbabit pada tarikh serta masa yang dinyatakan.

Seorang kakitangan kerajaan iaitu Stonton James, 27, ketika ditemui menjelaskan bahawa selain Stesen Pemerhatian Benak, beliau juga gemar berkunjung ke Taman Tebingan Sungai Sri Aman pada waktu petang jika ada waktu terluang.

“Dari Taman Tebingan Sungai Sri Aman, saya bersama rakan-rakan sekerja yang lain akan berjalan kaki menuju ke Stesen Pemerhatian Benak ini untuk melihat keunikan kawasan Sungai Batang Lupar.

“Kedua-dua lokasi ini sudah menjadi amat menarik pada masa sekarang hasil usaha pihak kerajaan yang membelanjakan jutaan ringgit bagi menjadikan bandar Sri Aman lebih menarik.Tahniah buat mereka,” katanya.

Bagaimanapun tindakan pengunjung yang gemar parkir di sepanjang laluan Jalan Astana sedikit sebanyak telah menimbulkan kesesakan trafik dalam kawasan itu sehingga jam 6.30 petang.

Atas sebab itu, pihak berkuasa tempatan perlu merangka satu inisiatif untuk mewujudkan kawasan parkir kenderaan yang lebih luas demi membolehkan pengunjung meletak kenderaan di kawasan yang disediakan dan bukannya di sepanjang laluan Jalan Astana tersebut.

Terdahulu Stesen Pemerhatian Benak yang terletak bersebelahan dengan Kubu Alice itu telah dibina dengan kos berjumlah RM5 juta. Stesen terbabit dipercayai masih belum siap dibina sepenuhnya walaupun ia telah mula dikunjungi oleh orang ramai pada masa sekarang.

Tamat.


Pesta Air Krian, Saratok 31 Okt - 2 Nov ini

SRI AMAN, Selasa (27 Okt) - Bandar Saratok akan menjadi tumpuan para pengunjung dari dalam dan luar negara apabila berlangsungnya Pesta Air, Sungai Krian, Saratok bermula dari 31 Oktober hingga 2 November ini.

Pegawai Daerah Saratok merangkap Timbalan Pengerusi Pengelola, Daniel Supit menerusi kenyataannya memberitahu, pesta edisi ke-7 ini nanti bakal menampilkan pelbagai acara menarik antaranya ialah Rakit Safari, Lumba Perahu, pertandingan memancing, persembahan kebudayaan, sukan rakyat dan jualan hasil pertanian.

“Pesta Ria, persembahan artis tempatan, karnival ketua masyarakat malam kebudayaan, regatta (lumba perahu), pertandingan menyumpit, mini ekspo perdagangan, pameran pembangunan, pertandingan pangkah gasing, pertunjukkan bunga api dan jualan hasil tani juga acara yang bakal diadakan pada pesta ini nanti,” katanya.

Dengan mengekalkan tema 'Air Dicincang Tidak Akan Putus', kemuncak pesta itu nanti menurut Daniel bakal menyaksikan saingan pertandingan lumba perahu untuk sakai 10, 15, 29, 25 dan 30 (kategori lelaki dan wanita) bagi merebut piala Datuk Peter Nyarok Enteri, Yang Berhormat Abdul Wahab Aziz dan Yang Berhormat Jelaing Mersat.

Turut diadakan menurut beliau juga ialah perlumbaan enjin sangkut dan enjin pam bagi lima, enam dan 15 kuasa kuda disamping berlangsungnya acara seperti trade fair bertempat di Dewan Masyarakat Saratok itu nanti.

“Justeru diharap agar Pesta Air, Sungai Krian, Saratok dapat menarik kedatangan ribuan orang pengunjung bagi memperkenalkan Saratok sebagai salah satu destinasi pelancongan yang popular di negara ini,” katanya.

Majlis Perasmian Pesta ini nanti akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Pembangunan Infrastruktur, Perhubungan dan Luar Bandar, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Sambutan Pesta Air, Sungai Krian, Saratok terlebih dahulu telah dimeriahkan lagi dengan penganjuran Festival Saratok yang berlangsung dari 2 Oktober lalu sehingga ia bakal berakhir pada 1 November ini.

Tamat...

JKKK perlu tubuh tabung pendidikan anak-anak kata Mong


Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Selasa (27 Okt) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digalak untuk menubuhkan tabung pendidikkan khas anak-anak dalam kawasan masing-masing selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang penubuhan tabung pendidikan ini bertujuan untuk membantu anak-anak khususnya dari rumah panjang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara ini.

"Anak-anak yang telah berjaya dalam bidang pendidikan masing-masing hasil bantuan tabung pendidikan itu nanti sudah semestinya akan membawa perubahan terhadap taraf hidup penduduk dalam rumah panjang masing-masing suatu hari nanti,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2009 anjuran JKKK Rumah Musa anak Lutang, Kampung Sutong, Sri Aman dengan kerjasama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Kampung Sutong bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau menerusi ucapannya mahu agar ahli JKKK menepis pemikiran negatif masing-masing dengan menganggap bahawa penubuhan tabung itu hanya memberi kesenangan kepada anak-anak ahli yang hanya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sayugia diingatkan bahawa mungkin cucu ahli JKKK itu nanti yang bakal memanfaatkan pengunaan tabung terbabit sekiranya anak mereka tidak layak menggunakannya pada masa sekarang,” menurut Mong.

Hadir sama ialah Pengerusi SIDS cawangan Sri Aman, Roselyn Abubawas, Pengerusi Sarawak Dayak National Unioin (SDNU) cawangan Sri Aman, Roland Demong Radin, Penghulu Briku anak Busang, Pengerusi SIDS Unit Kampung Sutong, Saloma anak Dris, para ketua jabatan dan ketua kaum dari sekitar bandar ini.

Mong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 dari Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berjumlah RM4,000 kepada JKKK Rumah Musa anak Lutang manakala RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukannya sendiri berjumlah RM3,000 kepada JKKK Rumah Musa dan RM2,000 untuk biro wanita dari rumah panjang yang sama. Majlis berkenaan telah dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu tajaan, persembahan suara emas oleh tetamu kehormat dan cabutan tiket bertuah.

Tamat...

26 October, 2009

Flashback artikel - Khabar Dari Wilayah - Ijok


Artikel ini sekadar 'flash back' untuk pembaca. Ia diterbitkan untuk pertama kalinya dalam Utusan Sarawak bagi ruangan KHABAR DARI WILAYAH pada 6 September 2004. Lama sudah. Tapi untuk kenang-kenangan ler hehehe. Artikel ini ditujukan untuk mat palau di sri aman dan di seluruh Malaysia kah kah. Idup Ijok!


Caption: Rakan penulis iaitu Edwin Nanggah (kanan) sedang melihat cara-cara penghasilan Ai Ijok baru-baru ini.

Baru-baru ini, penulis telah menyertai rombongan Menteri Muda Pertanian dan Sukan iaitu Encik Dublin Unting anak Ingkot ke Ulu Engkari, Lubok Antu untuk membuat liputan mengenai Majlis Perhimpunan Sivik Bersama Rakyat serta Penyerahan Cek bertempat di Rumah Sunok anak Ukar, Stamang pada 27 Ogos lalu.

Namun sebelum keberangkatan rombongan beliau ke Ulu Engkari, penulis bersama seorang rakan sempat meluangkan sedikit masa untuk ke bertandang ke kampung halaman setiausaha sulit beliau sendiri iaitu Encik Nelson Naga Alam yang akan turut serta di dalam rombongan terbabit di Batang Ai.

Di rumah berkenaan, penulis bersama rakan telah dihidangkan dengan sejenis minuman yang kebiasaannya menjadi kegemaran masyarakat daerah Lubok Antu ketika musim perayaan dan upacara adat. Ia lazimnya dikenali sebagai ‘Ai Ijok’ (air ijok).

Untuk pengetahuan pembaca, penulis telah mengenali minuman jenis ini untuk cukup lama. Itu pun semenjak penulis menjejakkan kaki ke Bahagian Sri Aman untuk melaksanakan tanggungjawab diri ini sebagai seorang wartawan kira-kira setahun lebih yang lalu.

Asal sahaja menghadiri majlis rasmi di daerah Lubok Antu maka sudah tentunya penulis akan berpeluang untuk menikmati minuman Ai Ijok. Namun Ai Ijok yang penulis nikmati di rumah Encik Nelson tampak lebih segar berbanding dengan Ai Ijok yang penulis sendiri pernah nikmati sebelum ini.

“Baru sahaja ambil daripada pokok Ijok di belakang rumah,” katanya apabila menyedari bahawa penulis dan rakan begitu menikmati minuman tersebut berbanding dengan yang sebelumnya. Seolah-olah seperti baru sahaja menikmati sesuatu yang baru.

Atas sebab ini, penulis telah meminta beliau untuk membawa penulis melawat ke kawasan yang dimaksudkan oleh dirinya bagi meninjau sendiri proses penghasilan Ai Ijok. Terus terang penulis katakan bahawa penulis sendiri tidak pernah melihat bagaimanakah Ai Ijok ini dihasilkan.

Mungkin ada di antara para pembaca yang belum mengenali minuman jenis ini. Boleh jadi juga ada yang pernah merasainya namun tidak tahu bagaimanakah minuman seumpama ini diperolehi.

Ai Ijok adalah merupakan sejenis minuman arak yang cukup popular dikalangan masyarakat Dayak yang menetap di sekitar daerah Lubok Antu dan Sri Aman. Sebut sahaja ‘Ijok’ maka sudah pasti kebanyakkan penduduk Dayak di daerah ini akan mengenali minuman terbabit.

Jika anda mengenali Ai Tuak (minuman tradisi masyarakat Dayak ketika sambutan Hari Gawai) maka sudah tentunya anda akan mengenali Ai Ijok. Rupanya sama namun cara penghasilannya sahaja yang berlainan.

Perbezaannya di sini ialah air tuak dihasilkan melalui proses penapaian ragi, air gula dan pulut manakala Ai Ijok pula dihasilkan melalui pokoknya iaitu Ijok (minuman berkenaan mendapat nama bersempena dengan pokoknya sendiri).

Sepertimana orang mendapatkan gula melaka daripada pokoknya maka seperti itu jugalah orang mendapatkan Ai Ijok daripada pokoknya sendiri. Ai Ijok terhasil melalui proses perolehan nira pokok berkenaan.

“Inilah pokok Ijok,” kata Nelson sambil menunjukkan sebatang pokok yang seakan pokok palma kepada diri penulis ketika berada di belakang rumahnya.

Menurut beliau, Ai Ijok tersebut hanya mampu diperolehi sekiranya usia bagi pokok berkenaan mencecah usia lima tahun ke atas dan sudah mula mengeluarkan tandan.

“Apabila pokok Ijok menjangkau usia lima tahun maka ianya akan menghasilkan dua buah tandan yang besar serta kecil.

“Jikalau tandan besar pada pokok Ijok sudah menghasilkan buah Senggalang Burung dan pada masa yang sama turut mengeluarkan tanda kecil maka pada masa itulah niranya boleh diperolehi,” katanya.

Jelas Nelson, sekiranya ketiga-tiga syarat berkenaan tidak dituruti oleh orang yang ingin mendapatkannya maka adalah amat mustahil sekali pokok Ijok berkenaan mampu menghasilkan nira (Ai Ijok).

Untuk mendapatkan niranya, beliau menjelaskan bahawa pembuat Ai Ijok perlu memotong sedikit pada hujung tandan kecil pokok berkenaan untuk agar ianya menitis keluar.

Nira (Ai Ijok) berkenaan akan menitis daripada hujung tandan kecil pokok tersebut dan seterusnya akan ditapis lalu ditakungkan di dalam sebuah bekas yang telah disediakan oleh pembuatnya.

“Langkah seterusnya ialah anda perlu memotong hujung tandan kecil pokok berkenaan sedikit demi sedikit setiap jam 5 petang memandangkan ianya akan kering lalu tidak mampu menitiskan nira.

“Melalui langkah ini, si pembuatnya mampu memperolehi tiga hingga empat gelen Ai Ijok untuk satu malam sepanjang tiga bulan proses ini dilakukan ataupun dengan kata lain apabila tandan ini sudah habis dipotong sehingga ka pangkal,” katanya.

Menurutnya lagi, proses bagi mendapatkan Ai Ijok ini boleh dilakukan semula apabila pokok tersebut mengeluarkan tandan kecil dan tandan besar yang sudah berbuah bagi musim yang seterusnya.

Kata beliau, pokok Ijok mampu menghasilkan tandan sebanyak lapan kali dan ini bererti seseorang itu boleh mendapatkan nira pokok terbabit melalui lapan musim.

Namun jelas Nelson, proses pertumbuhan tandan pokok Ijok akan berlaku berterusan sampai ke bahagian bawah berbanding pokok lain yang pada kebiasaannya tumbuh secara berturut-turut di bahagian pucuk.

Menurutnya, hayat pokok Ijok akan berakhir apabila kedua-dua tandan tersebut bercambah sehingga mengenai permukaan tanah untuk proses pertumbuhan tandan bagi kali yang kelapan.

“Sebatang pokok Ijok yang sudah cukup usia akan mengeluarkan tandan buahnya sebanyak lapan kali namun apa yang menariknya di sini ialah corak pertumbuhan tandan pokok terbabit adalah bersifat menurun ke bawah.

“Untuk kali yang kelapan, tandan tersebut terhasil di bahagian paling bawah pokok Ijok dan inilah kali terakhir anda mampu mendapatkan nira sebelum hayat pokok berkenaan berakhir,” katanya.

Penulis menganggukan kepala sebagai tanda faham. Kini, penulis berupaya memperoleh pengetahuan baru mengenai cara penghasilan Ai Ijok. Al maklumlah, penulis bukan orang sini maka mana pernah jumpa minuman sebegini rupa melainkan tuak.

Sebelum berangkat ke pengkalan bot di Batang Ai, kami bertiga sempat membawa segelen Ai Ijok sebagai bekalan. Sekurang-kurangnya kami sempat berhibur ketika menempuhi perjalanan sungai ke Ulu Engkari dengan menggunakan perahu berinjin yang bakal memakan masa selama dua jam setengah.

“Jangan ingat pokok Ijok hanya menghasilkan air sahaja namun umbut pokok ini juga boleh dijadikan sebagai lauk, daunnya boleh dijadikan sebagai atap nipah manakala sabut boleh dijadikan sebagai tali dan penapis,” katanya.

Tamat.....

Jelaing alukan Bajet 2010

SARATOK, Isnin (26 Okt) - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat mengalu-alukan peruntukan bernilai RM1.1 bilion yang disediakan oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan pendidikan untuk Sabah dan Sarawak menerusi pembentangan Bajet 2010 ini tadi.

Menurut beliau ia menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat cukup prihatin isu pendidikan nasional dan pembangunan sumber manusi menerusi kewangan yang diperuntukan untuk beberapa buah kawasan dalam kawasan Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2010 itu.

“Peruntukan bernilai RM1.1 billion ini sekaligus membolehkan para pelajar Sabah dan Sarawak terutamanya dari kawasan luar menikmati prasarana pendidikan yang lebih baik selepas ini.

“Malah peruntukan ini juga secara tidak langsung dapat membolehkan para pelajar dari kawasan luar bandar bersaing dengan para pelajar dari kawasan bandar dari segi bidang pendidikan selepas ini,” menurut beliau.

Jelaing yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Pesta Pantai Tanjung Kembong di Kabong Town Square malam kelmarin.

Selain itu beliau juga memuji tindakan kerajaan yang menganugerahkan biasiswa kebangsaan kepada 30 pelajar ‘creme de la creme’ berdasarkan kepada merit disamping menukarkan bentuk pinjaman kepada biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar yang tamat pengajian dengan perolehan ijazah sarjana kelas pertama atau seangkatannya.

“Justeru saya berharap agar para pelajar negeri ini tidak melepaskan peluang berhubung perkara ini sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh kerajaan demi kebaikan diri masing-masing,” menurut Jelaing.

Beliau juga melahirkan rasa terharu apabila kerajaan akan terus berusaha untuk memperuntukan subsidi dan pertolongan kepada golongan petani disamping mempertingkatkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Tamat.

25 October, 2009

100 peserta hadir program Ceramah Kesihatan


Caption: UNTUK ALBUM...Para peserta bergambar kenangan ketika berlangsungnya ceramah itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (26 Okt) – Sejumlah 100 orang peserta melibatkan diri dalam Ceramah Kesihatan yang berlangsung di sebuah hotel tempatan dalam bandar Sri Aman baru-baru ini.

Ceramah yang berkaitan dengan Kanser Payu Dara dan Kanser Pangkal Rahim itu adalah merupakan anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) kawasan Sri Aman dan Normah Medical Specialist Centre Kuching.

Sambil dikendalikan oleh Dr Suria Idris dari Normah Medical Specialist Centre Kuching, cemarah terbabit telah dihadiri oleh para peserta yang terdiri daripada ahli PPWS, MAKSAK, PERKIM dan lain-lain Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam bandar ini.

Pengerusi Kawasan, PPWS Sri Aman, Nur Khadijah Abdullah ketika ditemui berkata ceramah ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita agar tidak mengambil ringan tentang masalah kesihatan tersebut.

“Kanser Payu Dara dan Pangkal Rahim adalah merupakan penyakit pembunuh nombor satu bagi golongan wanita pada masa sekarang.

“Justeru diharap agar ceramah kesihatan yang dikendalikan oleh Dr Suria Idris ini dapat menyedarkan golongan wanita akan betapa pentingnya langkah pencegahan awal berbanding rawatan,” menurut beliau.

Ceramah Kesihatan yang bermula dari jam 2.15 petang hingga 3.30 petang itu turut dihadiri oleh Pengerusi Daerah PPWS Sri Aman, Saidah Saibi dan Kanselor Mas Shamshiah Haji Maslem.

Tamat.


250 anggota wataniah join khemah tahuan siri 2 /2009 di Layar

SRI AMAN, Isnin (26 Okt) - Seramai 250 arang anggota Askar Wataniah Sukarelawan dari Batalion 2, Rejimen 511 Askar Wataniah unit Sarikei, Saratok, Betong dan Sri Aman sedang mengikuti Khemah Tahunan siri 2/2009 bertempat di Pusat Sumber Pembangunan Desa (PSPD) Layar, Betong.

Khemah Tahunan yang berlangsung selama lima belas hari bermula dari 24 Oktober hingga 7 November ini nanti adalah anjuran pihak Rejimen 511 Askar Wataniah Sarawak.

Pegawai bertanggungjawab terhadap Perkhemahan berkenaan, Kapten Haji Hamsein Haji Atar berkata 30 orang daripada 250 peserta itu adalah merupakan Askar Wataniah Sukarelawan dari Batalion 1 Unit Kuchung.

“Kesemua 30 orang peserta dari pasukan Askar Wataniah Sukarelawan dari Batalion 1 unit Kuching yang mengikuti Khemah Tahunan siri 2/2009 ini telah dikategorikan sebagai peserta tumpangan dan cerai,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Selain itu katanya aktiviti khemah ini diadakan adalah merupakan acara kemuncak kepada latihan yang diadakan sepanjang tahun ini oleh anggota Askar Wataniah Sukarelawan.

Kesemua 250 orang peserta berkenaan menurut beliau telah menjalani latihan tempatan selama 240 jam dan latihan lanjutan selama seminggu sebelum ini.

“Selain kita menerusi aktiviti khemah ini juga mahu menguji tahap kesediaan anggota askar wataniah disamping meningkatkan kemampuan pengetahuan mereka dari segi aspek ketenteraan, ujian kecergasan mental dan fizikal setiap anggota,” menurutnya.

Brigedier Jeneral Datuk Amar Abdul Aziz bin Hussain menurut Hamsein dijangka bakal merasmikan majlis perasmian pembukaan khemah tahunan ini pada 26 Oktober ini bermula jam 8 malam.

Khemah Tahunan siri 1/2009 yang melibatkan pasukan Batalion 1 dan 3 Askar Wataniah Sukarelawan ini telah pun diadakan di Sematan, Lundu dekat Kuching pada awal tahun ini.

Tamat...

Majlis Anugerah Tiang Laju SMKS 6 November ini

SRI AMAN, Isnin - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang akan mengadakan Majlis Anugerah Tiang Laju 2009 pada 6 November ini bertempat di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 8 pagi.
Pengetuanya, Haji Ibrahim Jamain menerusi kenyataan medianya memberitahu bahawa objektif utama majlis berkenaan diadakan adalah untuk mengiktiraf kejayaan para pelajar dalam bidang kurikulum dan akademik sekolah itu sebelum ini.
“Selain itu majlis ini juga bertujuan untuk memberi penghargaan terhadap bakat dan potensi pelajar dalam bidang ko-kurikulum SMK Simanggang selama ini.
“Malahan majlis ini tidak lupa juga untuk memberi penghargaan ke atas khidmat dan penglibatan aktif para pelahar dalam pelbagai pertandingan dan aspek kepimpinan sekolah sebelum ini,” menurut beliau.
Justeru kata Ibrahim diharap agar majlis ini dapat dijadikan sebagai peransang atau motivasi kepada para pelajar untuk terus merintis cabaran dalam meneroka pelbagai sumber ilmu demi cita-cita dan kejayaan dalam kehidupan masing-masing.
“Ibu bapa pelajar dijemput untuk hadir sama bagi meraikan kejayaan anak didik SMK Simanggang demi menyuntik semangat juang yang tinggi dalam diri mereka menerusi majlis itu nanti,” katanya.
Tamat...

Peruntukan Bajet 2010 perlu diguna 'SEBAIK' nya kata Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Ahad (25 Okt) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berharap agar peruntukan untuk membina kemudahan jalan perhubungan di Sarawak dapat diguna dengan sebaik yang mungkin serta disalurkan dalam masa terdekat kelak.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat lepas mengumumkan bahawa sejumlah RM857 juta untuk membina jalan perhubungan sepanjang 510 kilometer dan 316 kilometer bagi jalan kampung yang turut mencakupi kawasan Kapit, Lawas dan Simunjan, Sarawak.

“Peruntukan itu wajar digunakan untuk kawasan yang telah lama menanti peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membina jalan raya berturap disamping memperbaiki semula laluan jalan raya yang benar-benar rosak teruk sebelum ini.

“Kalau boleh peruntukan itu tidak perlu diguna untuk membaiki jalan raya berturap yang hanya mengalami kerosakan kecil kerana ia akan hanya menguntungkan golongan kontraktor disamping merugikan rakyat itu sendiri,” menurut beliau sambil menambah bahawa ia boleh melambatkan proses pembangunan di kawasan itu.

Pengunaan peruntukan bagi tujuan pembinaan jalan perhubungan kata Snowdan perlulah lebih efisien dan mendatangkan keuntungan terhadap rakyat serta kontraktor yang melaksanakan kerja berkenaan.

Dengan berbuat demikian menurut Snowdan, barulah slogan ‘Rakyat Didahulukan, Percapaian Diutamakan’ benar-benar terserlah menerusi perlaksanaan konsep 1Malaysia di negara ini.

Selain itu beliau juga berharap agar peruntukan ini dapat diagih ke kawasan DUN Balai Ringin bagi tujuan pembinaan jalan perhubungan di sini khususnya bagi kawasan Jalan Kedumpai – Mentu yang masih lagi belum berturap.

Projek pembinaan jalan raya berturap sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan kawasan Kedumpai hingga Mentu di Simunjan itu menurut Snowdan memerlukan kos sekurang-kurangnya RM30 juta.

Lain-lain kawasan dalam DUN Balai Ringin menurut beliau iaitu kawasan Batang Strap, Pantu contohnya juga memerlukan peruntukan bagi tujuan projek naik taraf jalan raya demi kemudahan penduduk dalam kawasan terbabit.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2010 ini memandangkan ia secara tidak langsung telah menyerlahkan perlaksanaan Konsep 1Malaysia dalam negara ini.

“Justeru diharap agar Bajet 2010 terbabit mampu mengubah wajah pembangunan di Sarawak disamping mengembirakan hati semua rakyat Bumi Kenyalang dari seluruh pelusuk kawasan selepas ini,” menurut Snowdan.

Beliau juga menambah bahawa Sarawak adalah merupakan sebuah negeri yang luas dan layak mendapat agihan yang banyak bagi tujuan pembangunan menerusi pembentangan Bajet 2010 terbabit.

Tamat.


Warga emas cedera motorsikal 'berlantak' sama sendiri

SRI AMAN, Ahad (25 Okt) – Dua penunggang motorsikal Warga Emas mengalami cedera ringan apabila motorsikal yang mereka gunakan bertembung sesama sendiri menerusi kejadian yang berlaku di pondok stesen bas milik syarikat Borneo Bus dalam bandar ini pada pagi hari ini.

Kejadian kemalangan yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi itu turut disaksikan oleh orang ramai yang secara kebetulannya sedang melaksanakan urusan peribadi masing-masing di stesen bas berkenaan.

Orang ramai yang pada mulanya tergamam menyaksikan kejadian tersebut kemudiannya bertindak segera membantu penunggang motorsikal Warga Emas wanita dan lelaki yang bertembung dalam kemalangan itu.

Hasil pemeriksaan ringkas orang ramai mendapati bahawa penunggang Warga Emas wanita terbabit hanya mengalami luka kecil di bahagian telunjuk jari sebelah kanan.

Bagaimanapun saudara-mara penunggang Warga Emas lelaki yang tiba tidak lama selepas kejadian kemalangan berkenaan bertindak menghantar mangsa ke Hospital Sri Aman bagi tujuan rawatan lanjut selepas mengadu lemah dan sakit pada bahagian pahanya.

Manakala penunggang Warga Emas wanita terbabit pula dilihat berjalan kaki ke kedai saudaranya yang kebetulan berdekatan dengan kejadian untuk mendapatkan bantuan bagi merawat luka jarinya itu.

Tamat…

Orang kampung sasaran peniaga jual produk luput tarikh - Mong


Caption: MANFAATKAN….Mong (tiga kiri) bergambar bersama lima orang Tuai Rumah yang menerima cek peruntukan pada majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (25 Okt) – Penduduk luar bandar berisiko menjadi sasaran mudah oleh pihak peniaga tidak bertanggungjawab yang memikirkan mereka selama ini buta huruf dan kurang berpengetahuan tentang barang makanan yang masih boleh dimakan atau tidak.

Atas sebab terbabit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang melahirkan rasa bimbang sekiranya terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan menjual barang makanan sudah luput tarikh guna terhadap penduduk dalam kawasan luar bandar di sini.

“Justeru saya menasihatkan penduduk luar bandar agar bertindak melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepengunaan dan Koperasi (KPDNKK) sekiranya terdapat peniaga yang menjual barang makanan melebihi tarikh luput guna dalam kawasan masing-masing selepas ini,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kepentingan anjuran KPDNKK bersama Koperasi SK Melugu bertempat di dewan sekolah terbabit malam ini.

Menurut beliau barang makanan yang sudah melebihi tarikh luput guna akan menjadi beracun dan dikhuatiri boleh memberikan ancaman kesihatan terhadap penduduk yang menggunakan barangan tersebut.

“Makanan dalam tin yang sudah remuk juga amat berbahaya sekiranya dimakan. Jangan mudah diperdaya dengan jualan harga yang murah terhadap barangan makanan yang sudah luput tarikh guna kerana kesihatan adalah perkara no.1 dan bukannya keuntungan peribadi,” kata Mong.

Selain itu beliau juga mahu penduduk bertindak segera melapor kepada pihak KPDNKK sekiranya terdapat peniaga runcit di kawasan luar bandar yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum syiling seperti yang tersenarai dalam Skim Kawalan Harga sebelum ini.

Terdahulu Mong menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada lima buah rumah panjang di kawasan Skim Melugu yang mencatat nilai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Lima buah panjang terbabit adalah JKKK Tr Mail Deling, Melugu (RM5,000), JKKK Tr Wilson Bana, Po-Ai (RM2,000), JKKK Tr Gaik, Melugu (RM2,000), JKKK Tr Jumat, Po-Ai Enggat (RM3,000) dan JKKK Tr Mamba, Melugu (RM3,000).

Tamat.

23 October, 2009

Tiga maut menerusi kemalangan di Pantu kelmarin




Caption:

1.TUNDA...Kenderaan Isuzu Dimax telah ditunda ke jalan sebaik sahaja berlaku kejadian kemalangan yang membunuh tiga orang kakitangan JTS Sibu petang kelmarin.

2.MALANG...Pihak polis sedang mengusung mayat mangsa yang terbunuh ke dalam lori setelah berlakunya kemalangan terbabit kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (23 Okt) – Tiga orang kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Sibu terbunuh manakala seorang lagi selamat apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terjunam ke dalam Sungai Merah, Pantu menerusi kemalangan yang berlaku di kilometer 57, Jalan Kuching – Sri Aman lewat petang kelmarin.

Menurut sumber kejadian kemalangan yang meragut nyawa tiga orang lelaki itu telah berlaku kira-kira satu kilometer dari simpang jalan masuk menuju ke Pekan Pantu sekitar jam 3.15 petang kelmarin.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kemalangan ini menurut sumber ialah Augustine Uga anak Udai, 41, Peni anak Jantan, 45 dan Mathew Gaie anak Jelai, 46, manakala mangsa yang selamat ialah Encharang anak Janting, 53 tahun.

“Sebelum berlakunya kejadian, kesemua empat orang mangsa ini dipercayai dalam perjalanan pulang menuju ke Sibu dari arah Kuching ketika berlangsungnya hujan lebat pada waktu itu.

“Ketika menghampiri Jambatan Sungai Merah berkenaan, pemandu kenderaan Isuzu Dimax yang dinaiki oleh kesemua mangsa itu dipercayai terkejut apabila mendapati terdapat pokok tumbang di kawasan jalan berkenaan,” kata sumber.

Kejadian itu dipercayai menyebabkan pemandu kenderaan terbabit cuba mengelak daripada melanggar pokok tumbang berkenaan sehingga kenderaan yang dinaiki oleh mereka terbabas lalu menjunam masuk ke anak Sungai Merah di bawah jambatan berkenaan.

Bagaimanapun seorang daripada mangsa yang terselamat iaitu Jalang dipercayai berjaya melepaskan diri keluar daripada pintu belakang kenderaan terbabit sebaik sahaja berlaku kejadian manakala mangsa yang lain dipercayai mati lemas kerana terperangkap sebaik sahaja berlaku kemalangan.

Encharang kemudiannya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian terbabit dan seterusnya bertindak menghantar mangsa ke Klinik Pantu sebelum ia dirujuk ke Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan rawatan lanjut.

Manakala itu mayat ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam kejadian kemalangan terbabit telah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman pada jam 7.30 malam tadi bagi tujuan bedah siasat.

Tamat.



Kursus nikah JAIS 27 hingga 28 Oktober

SRI AMAN, Jumaat (23 Okt) – Jabatan Agama Islam Bahagian Sri Aman (JAIS) akan menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan selama dua hari bermula dari 27 hingga 28 Oktober ini.

Kursus Pra Perkahwinan yang akan berlangsung di Bilik Seminar, Pejabat Jabatan Agama Islam Bahagian Sri Aman itu nanti akan bermula dari jam 8 pagi hingga jam 4.30 petang pada tarikh yang dinyatakan.

“Kursus Pra Perkahwinan bermula 27 hingga 28 Oktober ini nanti adalah terbuka kepada semua penduduk beragama Islam dari sekitar bahagian Sri Aman.

“Tujuan utamanya Kursus Pra Perkahwinan ini diadakan adalah sebagai langkah persediaan awal terhadap para peserta kursus sebelum mereka mendirikan rumah tangga bersama pasangan hidup masing-masing selepas ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut.

Selain itu Kursus Pra Perkahwinan ini juga adalah merupakan kursus awal untuk mempersiapkan mental dan fizikal para peserta kursus yang mahu mendirikan rumah tangga bersama pasangan hidup mereka kelak.

Justeru itu penduduk beragama Islam yang berminat untuk menyertai kursus ini boleh mendapatkan borang penyertaan dari Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman pada waktu operasi pejabat berkenaan.

Tarikh tutup penyertaan telah ditetapkan pada 26 Oktober ini dan sebarang maklumat lanjut berhubung kursus terbabit boleh dilakukan dengan menghubungi dengan pejabat berkenaan menerusi talian 083-322318.

Tamat...

Snowdan turun padang bantu keluarga miskin di Simunjan


Caption:MANFAATKAN...Snowdan (tengah) serta persatuan dari Serian sedang memberi bantuan kepada Mokthar (kiri beliau) serta keluarga di kediaman Tuai Rumah Sepit baru-baru ini.

SIMUNJAN, Jumaat (23 Okt) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan telah turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga Mokthar Abdullah dari Kampung Spaoh Raba, Simunjan yang dilanda masalah kemiskinan tegar sebelum ini.

Beliau yang menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan, pakaian dan alat-alat sekolah kepada Mokthar dan lima orang anaknya itu turut membawa bersama Persatuan Chen Foh Chong Serian, Persatuan Buddist Serian, Persatuan Lions Club Serian dan Johor untuk menemui keluarga terbabit.

Malahan empat orang individu persendirian juga turut menghulurkan sedikit bantuan berupa wang kepada keluarga Iban muslim berkenaan yang mana kisah mengenai masalah kemiskinan mereka ini pernah diterbitkan dalam akhbar tempatan pada 24 September lalu.

“Keluarga ini terdiri dalam kategori miskin tegar dan tinggal dalam rumah yang usang. Justeru saya akan memastikan mereka layak mendapat bantuan berupa Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika menyampaikan bantuan terbabit baru-baru ini.

Beliau pada masa yang sama juga mendapati bahawa masih terdapat tiga orang penduduk warga emas dari kampung terbabit yang masih belum mendapat bantuan kebajikan semenjak bulan Mei 2009.

Atas sebab ini Snowdan berkata bahawa beliau akan bertindak untuk mendapatkan maklumat serta maklum balas daripada jabatan yang berkenaan sekiranya timbul masalah teknikal atau lain-lain faktor berhubung perkara itu.

“Saya juga akan bertindak mendapatkan senarai kebajikan, PPRT dan lain-lain senarai bantuan yang lengkap untuk kawasan DUN Balai Ringin ini daripada pejabat daerah atau pun daripada pejabat yang berkaitan untuk makluman saya selepas ini,” katanya.

Terdahulu Mokhtar atau nama sebenarnya sebelum memeluk Islam iaitu Mathew anak Dana, 43, terpaksa mengutamakan keperluan sara hidup lima orang anaknya dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan selama ini setelah ditinggalkan oleh isterinya kira-kira tujuh bulan lalu.

Beliau mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyara hidup empat orang anaknya iaitu Helmy, 18, Ira Fanzira, 14, Florina, 12, Khairul Faizal, 10 walaupun anak perempuan keduanya iaitu Flora, 16, sudah berkahwin.

Tamat.


Selamat Pengantin Baru Rudy & Haleza!


Caption: SEMOGA BAHAGIA...Naim bersama isteri, Saidah (kanan) merakamkan gambar bergambar kenangan bersama kedua-dua mempelai majlis perkahwinan terbabit dan juga ibubapa Haleza (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (23 Okt) – Abang Rudy Eswandy bin Abang Naim, anak lelaki kepada Pengerusi Daerah, Persekutuan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) Sri Aman iaitu Saidah Saibi selamat melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya Haleza binti Momin pada 18 Oktober lalu.

Majlis perkahwinan yang berlangsung di kediaman keluarga Abang Naim di alamat No.107 Jalan Sukun, Sri Aman itu turut hadiri oleh Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji bersama 500 orang tetamu jemputan yang lain.

Kedua-dua pasangan ‘mempelai’ terbabit iaitu Rudy, 32, yang berkhidmat dalam pasukan polis di Kota Kinabalu, Sabah dan Haleza, 30, jururawat di Tawau, Sabah sebelum ini telah pun selamat diijab kabul di Tawau pada 3 Oktober lalu.

Bagaimanapun keunikan majlis perkahwinan kedua-dua mempelai lelaki dan wanita terbabit telah ditonjolkan menerusi tarikh majlis Ijab Kabul yang berlangsung di Tawau, Sabah sebelumnya.

Abang Naim ketika ditemui berkata tarikh majlis Ijab Kabul (3 Oktober) anak lelaki beliau bersama pasangan hidupnya itu telah menandakan ulangtahun ke-35 perkongsian hidupnya bersama isteri iaitu Saidah Saibi.

“Lagipun tarikh lahir saya dan isteri iaitu Saidah jatuh pada hari dan bulan yang sama (3 Oktober). Dengan kata lain majlis perkahwinan antara anak kami iaitu Rudy dan pasangannya Haleza adalah umpama 3 dalam 1,” menurut beliau.

Justeru beliau dan isteri berharap agar keunikan tersebut dapat memberi kebahagian yang berkekalan terhadap ikatan perkahwinan Rudy bersama pasangan hidupnya Haleza selepas ini.

Tamat.


22 October, 2009

Saya akan buat yang terbaik - Uggah


SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas akan cuba mendapatkan maklumbalas daripada semua wakil rakyat dalam negeri ini berhubung isu yang melanda penduduk bumiputera Sarawak sebelum ini.

Menurut beliau hasil maklumbalas daripada kesemua wakil rakyat ini adalah amat penting bagi membolehkan beliau mengutarakan isu dan langkah penyelesaiannya selepas ini pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet yang telah ditubuhkan oleh pihak Kerajaan Pusat sebelumnya.

“Aspek pendidikan, penyediaan kemudahan inftrastruktur dan peningkatan taraf hidup dijangkakan menjadi isu utama dalam pembangunan hidup penduduk bumiputera dalam negeri ini.

“Justeru menerusi maklumbalas itu kelak, saya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengutarakan isu terbabit pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet selepas ini bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Selain itu penubuhan jawatankuasa khas kabinet oleh pihak Kerajaan Pusat sebelum ini kata Uggah dilihat sebagai usaha komited Barisan Nasional dalam merapatkan jurang pembangunan di antara penduduk dalam kawasan bandar serta luar bandar dalam negeri ini.

Usaha ini menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Betong dianggap sejajar dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia menerusi slogannya Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Saya akan melaksanakan tugas saya dengan sebaik yang mungkin sebagai salah seorang ahli jawatankuasa khas kabinet terbabit demi menyelesaikan isu pembangunan penduduk bumiputera Sarawak,” katanya.


Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman web malaysianmirror.com pada 17 Oktober lalu dikatakan bakal mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet ini bagi memperkenalkan dasar dan memantau progres pembangunan terhadap penduduk bumiputera di Sabah serta Sarawak.


Jawatankuasa khas kabinet ini turut disertai oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi iaitu Tan Sri Bernad Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Tamat.


Dari Sarawak Update.com - Masing puji kerajaan tubuh jawatankuasa khas bantu penduduk bumi di sini


SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut masing memuji tindakan pihak Kerajaan Pusat berhubung penubuhan jawatankuasa khas kabinet bagi menyelesaikan isu yang berkaitan dengan penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak sebelum ini.


Menurut beliau ia merupakan satu penghormatan dan langkah yang tepat oleh pihak Kerajaan Pusat untuk melantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi menganggotai jawatankuasa khas kabinet berkenaan.


Sambil menyifatkan Uggah sebagai individu yang berkelayakkan untuk memikul tugas itu, beliau berpendapat bahawa Ahli Parlimen Betong berkenaan mampu menyelesaikan masalah secara efektif menerusi pengalaman yang ada dalam dirinya.


“Terdapat jurang pembangunan yang cukup besar di antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar terutama sekali dari segi aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.


“Justeru sudah tibanya masanya bagi kerajaan untuk memberi perhatian mengenai isu pembangunan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya sekali bumiputera walaupun usaha itu lebih tertumpu terhadap kawasan bandar pada masa dahulu,” katanya menerusi laman web sarawakupdate.com hari ini.


Masing juga berkata bahawa Uggah dan Idris boleh merujuk pihak kementerian Kerajaan Negeri Sarawak untuk melihat langkah terbaik bagi membantu menyelesaikan isu terbabit.


“Setelah kita tahu apa yang mereka mahukan maka pihak kita akan dapat merangka mekanisme untuk membantu kumpulan sasaran tersebut.


“Bagaimanapun pihak pejabat Residen dan Jabatan Kebajikan juga boleh membantu siapa di antara mereka yang memerlukan bantuan. Paling penting sekali ialah mengenai perlaksanaan mekanisme ini disamping sepantas mana pihak kita boleh membantu mereka,” katanya.


Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman web malaysianmirror.com pada 17 Oktober lalu dikatakan bakal mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet ini bagi memperkenalkan dasar dan memantau progres pembangunan terhadap penduduk bumiputera di Sabah serta Sarawak.


Tamat.


SIDS Betong anjur dinner pada 7 Oktober ini

SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Betong akan menganjurkan Majlis Makan Malam bersempena Ulangtahun Ke-20 Penubuhan SIDS bertempat di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 7 November ini.

Pengerusi pengelola majlis, Roslind Ginjah ketika dihubungi berkata majlis yang akan bermula pada 6.30 petang itu bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara para ahli SIDS dari seluruh cawangan dalam negeri ini.

“Penganjuran majlis makan malam ini sekaligus dapat menghimpunkan kesemua ahli SIDS dalam negeri ini disamping memperkukuhkan lagi ikatan kerjasama di kalangan diri masing-masing,” katanya.

Selain itu Majlis Makan Malam bersempena Ulangtahun Ke-20 Penubuhan SIDS berkenaan katanya juga dilihat mampu menyemai semangat kekitaan dikalangan para ahli pertubuhan wanita terbabit selepas ini.

“Setakat ini terdapat 14 buah cawangan SIDS dalam negeri ini telah mengesahkan kehadiran masing-masing pada Majlis Makan Malam bersempena Ulangtahun Ke-20 Penubuhan SIDS itu kelak.

“Justeru diharapkan agar majlis ini nanti dapat mewujudkan satu ikatan perpaduan dan kerjasama dikalangan ahli SIDS di masa akan datang,” menurut beliau sambil menambah bahawa sebanyak 80 buah meja telah ditempah bagi tujuan majlis makan malam terbabit setakat ini.

Bagaimanapun dengan sasaran tempahan meja mencapai 100 buah, orang ramai menurut Roslind masih boleh menempah meja masing-masing menerusi bayaran RM300 sebuah dengan menghubungi beliau di talian 013-5660561 atau Eva Bobby di talian 019-8779627.

Majlis Makan Malam bersempena Ulangtahun Ke-20 Penubuhan SIDS ini menurut beliau juga akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

“Antara tetamu kehormat majlis pada malam itu ialah Pengerusi SIDS, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat.

“Antara acara menarik yang akan bakal diadakan pada majlis itu ialah Pertandingan Ratu Ibu, persembahan nyanyian lagu secara langsung oleh kumpulan pemuzik, persembahan kebudayaan dan cabutan tiket bertuah,” katanya.

Tamat.

Arasy layak ke Festival nasyid peringkat kebangsaan


Caption: BAKAL BERENTAP...Gambar menunjukkan kumpulan Asray (kiri) dan Istaiqaza (kanan) sebaik sahaja selesai kejohanan nasyid peringkat negeri di Sibu pada Mei lalu.

special thanks to Abdullah Suhaili for the pix n fact


SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Kumpulan nasyid Arasy dari Bahagian Sri Aman akan berentap dalam Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) Ke-20 2009 bertempat di Dewan De' Sri Endon, Bangunan Puspanitapuri, Persint 10, Putrajaya, Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 27 hingga 30 Oktober ini

Kumpulan Arasy bakal berentap dalam Kategori Moden, Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) Ke-20 2009 setelah muncul johan kategori terbabit pada Festival Nasyid Peringkat Negeri 2009 yang berlangsung di Dewan Suarah Sibu pada bulan Mei tahun ini.

Jurucakapnya Abdullah bin Suhaili menerusi mail elektroniknya kepada Utusan Sarawak hari ini berkata kumpulan Arasy bakal mempertaruhkan lagu berjudul “Perjalanan” hasil ciptaan Adam Abu Kawi dan lirik oleh Mohd Zuzy Abd Sani pada festival itu nanti.

“Lagu Perjalanan ini juga telah memenangi Anugerah Lagu Terbaik dan Anugerah Susunan Muzik Terbaik pada Festival Nasyid Peringkat Negeri 2009 yang berlangsung di Dewan Suarah Sibu bulan Mei lalu.

“Justeru kami berharap agar berjaya menjulang sekali lagi nama Sarawak di Festival Nasyid Kebangsan 2009 menerusi sokongan padu dan harapan daripada seluruh penduduk negeri,” katanya.

Terdahulu kumpulan Arasy pada asalnya telah dikenali sebagai kumpulan Citra sebelum kumpulan itu bertindak menukar nama di bawah syarat FNK memandangkan Citra pernah muncul sebagai johan FNK Ke-19 pada tahun lepas.

Kumpulan Arasy dinaungi oleh Mohd Zuzy Abdul Sani dan diketuai Adam Abu Kawi selaku jurulatih kumpulan ini. Ia dianggotai oleh Haseman Zain, Abdullah Suhaili, Nur Elfy Amir dan Awang Khairul Amilin Awang Sahfri.

Semenjak ditubuhkan pada bulan Januari 2008, kumpulan Asray turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila muncul sebagai kumpulan yang berjaya meraih undian SMS tertinggi bagi Kategori Moden, FNK 2008.

Kumpulan itu juga pernah dijemput untuk membuat persembahan pada majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 di PWTC, Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu.

Turut mengiringi kumpulan Asray pada FNK 2009 itu nanti ialah kumpulan Istaiqaza dari Kuching akan mewakili Sarawak bagi Kategori Tradisi dengan mempertaruhkan lagu yang berjudul “Lakedasikal”.


Tamat.






.


Pergi hospital kerana bimbang digigit labah2 berbisa

SRI AMAN, Khamis (22 Okt) – Seorang pemuda merasakan dirinya ‘amat bertuah’ apabila lengan kanannya digigit oleh seekor labah-labah tidak berbisa bersaiz syiling 20 sen (saiz tidak mengira panjang kaki) menerusi kejadian yang berlaku pada jam 11.15 malam tadi.

Morgan Alban, 27, dari Kampung Nyakai, Sri Aman mendakwa dirinya digigit oleh labah-labah berwarna hitam ini ketika hendak tidur di biliknya setelah selesai menonton televisyen pada waktu itu.

“Lengan kanan saya tiba-tiba digigit oleh sesuatu secara mengejut ketika hendak menyelimutkan diri saya di atas katil.

“Pada mulanya saya sangka gigitan itu datangnya dari serangga Engkerawai namun setelah diperiksa selimut terbabit saya telah berhasil menemui seekor labah-labah sebesar syiling 20 sen (saiz hanya mencakupi tubuh dan bukan termasuk kaki),” katanya.

Ibu beliau yang bimbang terhadap kemungkinan anaknya itu digigit oleh labah-labah berbisa kemudiannya bertindak menghantar anaknya ke Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan rawatan lanjut.

“Syukurlah labah-labah itu bukan jenis berbisa seperti yang kita lihat dalam televisyen selama ini kerana jika tidak mungkin saya boleh pengsan atau pun maut disebabkan oleh gigitan serangga terbabit,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa serangan labah-labah terbabit tidak menyebabkan luka gigitan di lengan kanannya lebam atau kesan sampingan walaupun telah menerima rawatan ringkas di hospital pada malam tadi.

“Justeru paling penting periksa katil anda sebelum masuk tidur kerana kita tidak akan menyangka boleh diserang oleh serangga berbahaya seperti mana yang dialami oleh saya pada malam tadi,” katanya.

Tamat.


21 October, 2009

14 bakal Haji dan Hajah ke Mekah 27 Oktober ini




Caption:

1.SELAMAT BERANGKAT...Datu Rashid (kanan) sambil disaksikan oleh Haji Mustapha (tengah) sedang menyampaikan sumbangan kepada wakil Haji dan Hajjah iaitu Haji Suhaili (kiri) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

2.BAKAL HAJI DAN HAJAH...Antara muslim dan muslimah yang bakal menunaikan ibadat Haji dan Hajjah ke Mekah pada 27 Oktober ini.


SRI AMAN, Rabu (21 Okt) – Sejumlah 14 orang penduduk muslim dari bandar Sri Aman bakal berangkat ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadat Haji dan Hajjah di sana pada 27 Oktober ini.

Keberangkatan mereka ke Mekah pada 27 Oktober ini terdahulunya telah pun diraikan menerusi Majlis Kesyukuran dan Majlis Meraikan Bakal Haji serta Hajah 2009 M / 1430 H yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman bermula jam 6 petang kelmarin.

Tujuh orang bakal Haji daripada jumlah keseluruhan terbabit adalah Muhi bin Jali, Muhiyuddin bin Isa, Simot bin Dan, Haji Sulaihi bin Rapaie, Awang Mustapha bin Awang Lamudin, Hamdan bin Sujang dan Hadian bin Sulaiman.

Manakala tujuh orang bakal Hajjah ini terdiri daripada Hajjah Simoi binti Haji Peri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajijah binti Nusi, Saimah binti Jani, Zubaidah binti Salleh, Fatimahwati binti Abdullah, Napsiah binti Haji Haris dan Jamilah binti Mohammad.

Pada majlis itu kesemua bakal Haji dan Hajjah terbabit telah menunaikan solat Fardhu Maghrib pada jam 6.22 petang sebelum bermulanya majlis berzikir serta bacaan doa selamat yang telah dijayakan oleh kumpulan Zikir Annur Kampung Muhibbah Sri Aman sehingga jam 7.40 malam.

Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bandar Sri Aman, Datu Haji Abdul Rashid Haji Mohd Aziz kemudiannya telah menyampaikan sumbangan kepada bakal Haji dan Hajjah ini kepada wakilnya iaitu Haji Suhaili bin Rapaie sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman iaitu Haji Mustapha Salleh

Majlis diteruskan lagi dengan solat Fardhu Isyak berjemaah bersama 300 orang penduduk Islam di bandar ini sebelum kesemua mereka dijemput untuk menghadiri majlis jamuan makan malam di Dewan Serbaguna Masjid Bandar Sri Aman selepas itu.

Kesemua 14 orang bakal Haji dan Hajjah ini akan berangkat ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan menggunakan penerbangan jam 7.30 malam pada 27 Oktober ini.

Tamat.




Tubuhkan IKS hasilkan satey di Kpg Masjid Baru- Noren


Caption: TAHNIAH...Shamshuddin (tengah) menyampaikan hadiah kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh Abang Noren (tiga kanan), Malaysia (dua kanan) dan Zaidi (tiga kiri) ketika berlangsungnya majlis pada malam Isnin lepas.

SRI AMAN, Rabu (21 Okt) – Kampung Masjid Baru, Sri Aman berpotensi dijadikan sebagai pusat pengeluaran produk makanan berupa Satey di dalam Bahagian Sri Aman ini.

Oleh yang demikian Ketua Kampung Masjid Baru, Abang Noren bin Abang Naruddin mencadangkan agar diwujudkan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang berkaitan dengan pengeluaran makanan Satey di kampung berkenaan selepas ini.

“Kampung Masjid Baru hanya merupakan satu-satunya kampung yang mempunyai para peniaga yang mengusahakan perniagaan jualan Satey Ayam atau Daging di bandar Sri Aman ini semenjak 30 tahun lalu.

“Saya percaya Satey dari Kampung Masjid Baru boleh ditukarkan kepada satu produk niaga yang mampu diketengahkan menerusi pasaran dalam atau luar dari kawasan bandar Sri Aman sekiranya kerajaan bertindak menubuhkan IKS di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1430 H / 2009 yang berlangsung di kediaman Ketua Kampung Abang Noren bin Abang Naruddin, Kampung Masjid Baru malam Isnin lalu.

Noren juga yakin bahawa IKS di Kampung Masjid Baru boleh menghasilkan produk makanan Satey yang berkualiti memandangkan terdapat lebih 10 orang peniaga makanan dari kampung berkenaan yang telah mewarisi cara penghasilan secara turun-temurun dari orang tua mereka selama ini.

“Kampung Masjid Baru juga merupakan pusat tempatan Satey untuk mana-mana majlis rasmi atau keramaian dalam bandar ini dan justeru itu adalah lebih sekiranya para peniaga kampung ini diberi peluang untuk mengusahakan produk terbabit menerusi penubuhan IKS,” katanya.

Terdahulu Nur Maisarah Ishak telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pakaian Hari Kanak-Kanak yang diadakan pada majlis itu.

Hajah Aisah binti Mat pula muncul pemenang Pertandingan Ratu Veteran Hari Raya manakala Nurul dan Mokthar muncul pemenang Pertandingan Karaoke Duet bagi majlis berkenaan. Sani Halim muncul sebagai peserta bertuah apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Karaoke Solo pada majlis itu.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, pengerusi majlis, Abang Noren Abang Naruddin, Pengerusi PPWS Kampung Masjid Baru, Malaysia Murshidi, Penghulu Abang haji Mohd Salleh, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai JASA Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidi Haji Ripin, para wakil jabatan dan penduduk tempatan di sini.

Tamat.


Inrun Motor tawar promosi Toyota 22 - 24 Okt

SRI AMAN, Rabu (21 Okt) – Orang ramai dijemput untuk berkunjung ke premis Inrun Motor Sendirian Berhad iaitu pengedar sah bagi kenderaan jenama Toyota bagi menyaksikan promosi istimewa kenderaan jenis Toyota Hilux bermula 22 hingga 24 Oktober ini (hari ini start).

Jurucakap syarikat terbabit berkata promosi ini yang juga dikenali sebagai Toyota Oktober Treats akan bermula dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang menerusi tarikh yang dinyatakan di premis syarikat Inrun itu.

“Promosi ini menawarkan secara percuma Sports Bar dan Bedliner bernilai RM2,500 disamping rebat bayaran pendahuluan bernilai RM2,000 kepada mereka yang menempah Toyota Hilux pada promosi itu nanti.

“Malahan promosi istimewa juga akan disediakan untuk model kenderaan keluaran Toyota yang lain dengan kadar interest sebanyak 2.88 peratus disamping tawaran hadiah istimewa bagi kesemua model kenderaan berkenaan,” katanya.

Disamping itu pihak mereka katanya turut mengadakan cabutan bertuah kepada para pelanggan yang membuat tempahan terhadap mana-mana jenis kenderaan jenis Toyota dengan menawarkan LCD Televisyen sebagai hadiah istimewanya.

“Justeru orang ramai terutamanya mereka yang berminat untuk merebut peluang terbabit digalakkan untuk hadir pada promosi itu nanti menerusi tarikh yang telah dinyatakan,” katanya.

Orang ramai menerusi promosi itu juga akan berpeluang untuk menikmati hadiah pendaftaran percuma, sesi pandu uji kenderaan Toyota Hilux, cabutan tiket bertuah, hadiah istimewa bagi pendaftar dan jamuan ringan.

“Disamping itu pihak kami juga turut mengadakan Peraduan Mewarna Terbuka untuk Kanak-Kanak bawah 12 Tahun menerusi promosi ini nanti bermula jam 3 petang pada 22 dan 23 Oktober,” katanya sambil menambah bahawa peraduan mewarna pada 24 Oktober pula dijadualkan bermula pada jam 10 pagi.

Tamat...

20 October, 2009

Mana-mana pun boleh online daa..


Laptop dan Broadband - Dua alat ini berguna kepada para wartawan yang melakukan kerja penghantaran secara on line sekiranya bekerja di luar dari kawasan pejabat mereka sendiri.
Wartawan Utusan Borneo cawangan Sri Aman, Edwin Raoh (gambar) bersama rakannya Edwin Nanggah dari RTM Sri Aman menunjukkan bagaimana kedua-dua alat kemudahan ICT ini membantu mempermudahkan kerja penghantaran berita ke ibupejabat dari lokasi liputan berita tanpa perlu pulang ke pejabat cawangan untuk melaksanakan tugasan terbabit.
Gambar di atas diambil ketika pihak kami selesai melakukan liputan berita majlis penyampaian sijil dan hadiah di Sekolah Menengah Teknik Betong, pada 16 Oktober lalu.
Tanpa perlu pulang ke pejabat cawangan Sri Aman, penghasilan berita telah dilakukan di situ sebelum dihantar terus ke ibupejabat akhbar Kuching.
Mana-mana pun boleh online daaaa............

Hidupkan semula Budaya Berlangga kata Zaidi




Caption:

1.BERSELERA...Zaidi (dua kiri) bersama Whelton (dua kanan) ketika sedang menjamu jamuan makanan bersama para hadirin pada majlis itu malam tadi.

2.BERSEMANGAT...Koir PPWS Kampung Masjid Baru sedang mempersembahkan lagu raya ketika berlangsungnya majlis di sini malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (20 Okt) – Budaya ‘Berlangga’ yang diamalkan oleh penduduk kaum Melayu Sarawak ketika berlangsungnya perayaan Hari Raya pada masa dahulu perlu dihidupkan kembali pada masa sekarang.

Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Zaidi Sarkawi berkata kemunculan semula budaya Berlangga ini dilihat mampu menyemarakkan semula kemeriahan asal sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sri Aman pada tahun akan datang.

“Budaya Berlangga pada zaman dahulu melibatkan kunjungan perayaan Hari Raya oleh para penduduk kaum Melayu Sarawak dari sebuah perkampungan ke perkampungan yang lain termasuk mereka hanya baru mengenali sesama diri ketika itu.

“Ia ini dilihat amat baik untuk memperluaskan lagi hubungan tali silaturahim antara penduduk walaupun budaya Berlangga ini dilihat seolah-olah tidak wujud lagi pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1430 H / 2009 yang berlangsung di kediaman Ketua Kampung Abang Noren bin Abang Naruddin, Kampung Masjid Baru malam tadi.

Berbanding dengan penganjuran majlis ramah tamah yang hanya memfokuskan perhimpunan penduduk pada satu lokasi, Budaya Berlangga dilihat mampu mewujudkan hubungan istimewa di antara kampung-kampung dalam sesebuah kawasan.

“Justeru atas sebab ini saya mencadangkan diadakan program budaya Berlangga ini bagi mengantikan majlis ramah tamah menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri di tahun akan datang,” menurut beliau.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1430 H / 2009 ini merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak Kampung Masjid Baru Sri Aman.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, pengerusi majlis, Abang Noren Abang Naruddin, Pengerusi PPWS Kampung Masjid Baru, Malaysia Murshidi, Penghulu Abang haji Mohd Salleh, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai JASA Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidi Haji Ripin, para wakil jabatan dan penduduk tempatan di sini.

Majlis ini telah dimeriahkan lagi dengan jamuan makanan, Pertandingan Memperagakan Pakaian Raya bagi Kanak-Kanak, Pertandingan Lagu Raya Berpasangan dan Pertandingan Ratu Veteran 50 Tahun Ke atas.

Tamat.



Bank Rakyat Sri Aman anjur ramah tamah aidilfitri


Caption: 1MALAYSIA... Nazaruddin (tengah) dan Roslan (dua kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Pemanca Sii (kiri sekali), Penghulu Lee (tiga kiri) dan Kapitan Yap (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis kelmarin.


Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Selasa – Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman yang berlangsung di sini pagi kelmarin telah dimeriahkan menerusi kehadiran lebih 400 penduduk dari sekitar bandar Sri Aman ini.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari di hadapan premis Bank Rakyat cawangan Sri Aman ini nyata dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Bank Rakyat bagi Kawasan Wilayah Sarawak iaitu Haji Nazaruddin bin Zainal Abidin.

Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali ketika ditemui berkata Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini adalah merupakan pentas bagi memperluaskan lagi semangat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Ia dapat dilihat apabila majlis ini berjaya menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum serta agama dalam bandar Sri Aman dan sekaligus mampu memperkukuhkan hubungan di antara mereka menerusi konsep 1Malaysia,” menurut beliau.

Selain itu Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini juga menurut Roslan adalah merupakan satu penghargaan daripada pihak Bank Rakyat terhadap pelanggan setia mereka dalam bandar ini.

Malahan penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini juga bertujuan untuk mempromosi Bank Rakyat kepada orang ramai tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihaknya terhadap mereka selama ini.

“Dengan penuh rasa bangga dan terharu, Bank Rakyat cawangan Sri Aman ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam yang telah hadir bagi memeriahkan suasana penganjuran majlis ini,” katanya.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ketua kaum Cina di bandar Sri Aman iaitu Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua dan Kapitan Yap Kuat Kee.

Tamat.

19 October, 2009

Polis rayu kerjasama orang ramai bantu siasat kes langgar lari

SRI AMAN, Selasa (20 Okt) – Pihak polis merayu kerjasama daripada orang ramai untuk tampil memberikan maklumat berhubung satu kes langgar lari yang berlaku di kilometer 65, Jalan Sri Aman / Kuching pada 16 Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, kes langgar lari yang berlaku di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Aping itu telah melibatkan kematian serta-merta seorang penunggang motorsikal berusia 30 tahun di tempat kejadian tersebut.

“Sekitar 6.15 petang pada 16 Oktober lalu, seorang penunggang motorsikal iaitu Anthony anak Akim ditemui mati di tempat kejadian (kilometer 65) ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Batu Arang, Selantik yang terletak di kawasan kilometer 62, Jalan Sri Aman / Kuching.

“Mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ini sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sabal Kruin, Simunjan sebelum oleh sebab langgar lari menerusi kejadian itu,” katanya.

Justeru menurut kenyataan terbabit, orang ramai diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman iaitu Inspektor Ahmad Fuad menerusi talian telefon 013-3981414 jika mempunyai maklumat lanjut berhubung kes tersebut.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat IPD Sri Aman iaitu Sarjan Sen Sili menerusi talian telefon 019-8860211 atau menghubungi Balai Polis Sri Aman menerusi talian 083-322121 jika mempunyai maklumat berhubung kes ini,” katanya.

Tamat.

Penduduk Tanjung Bijat diminta jangan dengar hasutan, Mong


Caption: SIMBOLIK...Mong (tengah) sambil disaksikan oleh tetamu undang khas sedang menyempurnakan simbolik perasmian majlis di PPK Klinik Kesihatan Tanjung Bijat baru-baru ini.

LINGGA, Isnin (19 Okt) – Penduduk di kawasan Tanjung Bijat, Sri Aman dinasihat agar menolak kehadiran golongan pihak tertentu yang cuba mengagalkan penglibatan mereka dalam projek penanaman padi secara komersial selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata demikian berikutan munculnya golongan pihak tertentu yang menghasut penduduk di Tanjung Bijat agar tidak melibatkan penggunaan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing dalam projek penanaman padi secara komersial di situ sebelum ini.

“Penduduk Tanjung Bijat tidak harus melepas peluang peningkatan taraf hidup masing-masing menerusi penglibatan masing-masing dalam projek penanaman padi secara komersial di situ gara-gara dihasut oleh pihak tertentu sebelum ini.

“Jika penduduk Tanjung Bijat termakan hasutan terbabit maka mereka akan rugi kerana projek agropolitan bernilai RM200 juta itu sebenarnya boleh mengubah nasib hidup mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dengan kerjasama PPK Klinik Kesihatan Tanjung Bijat di sini pada hari Jumaat lalu.

Penduduk Tanjung Bijat menurut Mong sebaliknya perlu mengambil peluang yang ditawarkan oleh kerajaan kepada mereka demi menaiktaraf hidup masing-masing pada masa hadapan.

“Anda tidak boleh mengadaikan masa hadapan diri masing-masing hanya disebabkan oleh hasutan oleh pihak tertentu yang mahu meraih sokongan politik semata-mata.

“Justeru saya berharap penduduk Tanjung Bijat berfikiran lebih terbuka dan bijak selepas ini sekiranya kumpulan itu cuba menghasut semula selepas ini,” katanya.

Kempen ini turut dihadiri oleh wakil Walikota Sri Aman, Kanselor Ronald Chengir, wakil MDSA, Christopher Sim, PPK Klinik Kesihatan Tanjung Bijat, Albert Mat, wakil Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman, Frederick Jimbai, Pengerusi Warga Emas Tanjung Bijat, Pengulu Tinggie dan Ketua Unit Warga Emas, Jali anak Binti.

Tamat.


Anak muda harus hindari anasir jahat kata Masir




Caption:

1.RASMI...Masir ketika sedang menyempurnakan simbolik perasmian kejohanan sukan berkenaan dengan menyalakan obor di SK Saint Martin baru-baru ini.

2.UNTUK ALBUM...Pasukan SK Selanjan merakamkan gambar kenangan bersama guru pengiring masing-masing sebaik sahaja selesai kejohanan berkenaan baru-baru ini.

PANTU, Isnin (19 Okt) – Anak muda harus menjauhkan diri daripada anasir-anasir jahat yang boleh menggugat masa depan hidup mereka, demikian nasihat Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti jenayah dan kurang bermoral akibat pengaruh anasir jahat selama ini menurut beliau nyata amat membimbangkan semua pihak yang mahu agar golongan itu menjadi barisan pemimpin pembangunan negara di masa akan datang.

“Anak muda adalah permata negara di masa akan datang. Jika masalah pembabitan anak-anak muda dalam jenayah makin berleluasa maka dikhuatiri bahawa negara bakal menghadapi masalah kekurangan modal insan berkualiti di masa akan datang

“Justeru adalah menjadi peranan semua pihak terutamanya pihak ibubapa dan guru untuk memantau perkembangan aktiviti anak-anak terutama sekali ketika mereka berada di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Zon Pantu bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Martin, Lancau dalam kawasan daerah Pantu, Sri Aman pada hari Jumaat lalu.

Selain itu Masir juga menyarankan agar setiap keluarga di Sri Aman ini untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang berijazah bagi memantapkan lagi proses pembangunan negara selepas ini.

“Semakin ramai semakin baik. Oleh itu saya berharap agar negara tidak ketandusan golongan generasi baru yang berkualiti sekiranya setiap keluarga masing-masing memiliki ahli keluarga berijazah di masa hadapan,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiai, Yang Dipertua PIBG SK Saint Martin, Rentap Asin, Guru Besar SK Saint Martin, John Asir, Ketua Unit HEM Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman, Mohd Yusop Lugom dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sri Aman, Louis Aom.

Sekolah Kebangsaan Pantu muncul sebagai juara Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Zon Pantu ini. Kedudukan naib johan pula telah disandang oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Bangkong, Pantu manakala tempat ke-3 dana ke-4 dalam kejohanan ini masing-masing disandang oleh SK Jaong dan SK Selanjan.

Tamat.



17 October, 2009

400 keluarga miskin di Betong akan dibantu


Caption: MESRA...Jabu (dua kanan) bersama Uggah (dua kiri) ketika menikmati jamuan pada pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong malam tadi.

BETONG, Ahad (18 Okt) – Kajian program e-kasih menunjukkan bahawa terdapat sejumlah 400 keluarga di Bahagian Betong yang masih tergolong dalam kategori miskin Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas.

Atas sebab ini kerajaan Barisan Nasional (BN) katanya akan bertindak secepat mungkin untuk membantu meringankan bebanan kesemua 400 keluarga miskin di Betong selepas ini.

“Antara langkah yang diambil ialah membina atau membaiki kediaman kesemua 400 keluarga miskin itu menerusi peruntukan kewangan berjumlah RM5 juta daripada kerajaan BN.

“Bagaimanapun saya percaya bahawa masih terdapat ramai lagi keluarga miskin di Bahagian Betong ini yang tersenarai dalam kajian e-kasih berkenaan berbanding 400 keluarga sebelumnya,” menurutnya.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu anak Numpang bertempat di perkarangan Masjid Jamek Betong malam tadi.

Bagi membolehkan lebih ramai keluarga miskin di Betong berdaftar dalam program e-kasih, beliau meminta semua ketua kaum dan ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk turun padang bagi mencari penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan dan pembelaan daripada kerajaan BN.

“Kalau boleh saya mahu ketua kaum dan ketua ranting PBB di sini hanya menyenaraikan penduduk yang hanya benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan BN menerusi program e-kasih ini.

“Jangan pilih bulu ketika turun padang untuk tujuan itu kerana di antara mereka yang hanya bertindak menyenaraikan nama penduduk yang tidak sewajarnya mendapat bantuan atau saudara mara terdekat mereka sendiri,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Pegawai Daerah Betong, Fariday anak Belie, para ketua jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam kawasan Betong.



Dalam majlis itu juga Uggah telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Betong bagi tujuan aktiviti sosial mereka selepas ini.

Sebanyak 17 buah keluarga sudah mendapat rumah baru menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Betong pada tahun ini.

Tamat.