Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 September, 2009

Skim Kawalan Harga bermula 13 - 27 September ini!


Caption: INI DIA...Roslan sedang menunjukkan lesen yang diperlukan untuk menjual barangan terkawal ketika berlangsungnya sidang media hari ini.

SRI AMAN, Selasa (8 Sept) – Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2009 / 2010 bakal berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 13 hingga 27 September ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari berkata sejumlah 17 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Ia adalah Ayam Hidup, Ayam Standart, Ayam Super, Daging Lembu Tempatan, Daging Kerbau Import (India), Telur Ayam Gred A, B, C, Kubis Bulat Import (Indonesia dan China), Cili Merah, Tomato, Kelapa Parut, Ubi Kentang Import, Kacang Tanah Import, Bawang Merah Kecil (India) , Bawang Putih (China) dan Ikan Kembung (berat antara 8 hingga 11 ekor sekilogram).

“Bagi empat kawasan itu, harga maksimum (syiling) sekilogram jualan barangan kawalan seperti ayam hidup adalah RM7, Ayam Standart RM8.30, Ayam Super RM8.80, Daging Lembu Tempatan RM28, Daging Kerbau Import (tiada), Cili Merah RM10, Tomato RM5, Kelapa Parut RM2.50, Ubi Kentang Import RM3, Kacang Tanah Import RM3, Bawang Merah Kecil (India) RM5, Bawang Putih (China) RM5dan Ikan Kembung RM8.

“Manakala itu harga maksimum syiling bagi Telur Ayam Gred A (berat antara 65 hingga 69.9 gram) sebiji ialah 34 sen, Telur Ayam Gred B (berat 60 hingga 64.9 gram) pula ialah 33 sen sebiji dan gred C pula ialah 32 sen sebiji (berat 55 hingga 59.9 gram),” menurut Roslan pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Untuk itu beliau mengingatkan para peniaga runcit di kawasan Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu agar tidak menjual barangan terkawal ini melebihi harga maksimum syiling seperti mana yang telah dinyatakan di atas.

Para peniaga menurut Roslan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 hingga RM7,500 jika disabitkan bersalah dibawah Sekyen 5 Akta Kawalan Harga 1946 berhubung skim kawalan harga ini.

“Malahan tindakan juga akan diambil terhadap peniaga yang tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu (terhadap barangan kawalan), gagal mempamerkan lesen jualan barangan tersebut dan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan terbabit,” menurut beliau.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan menurut beliau juga dinasihatkan untuk pihak KPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment