Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 September, 2009

Saya tidak lagi dalam PKR - Agnes Chendu


Mugshot: SOKONG BN...Agnes Chendu ketika ditemui pemberita hari ini berhubung isu PKR.

SRI AMAN, Selasa (29 sept) – Agnes Chendu anak Daud hari ini menafikan bahawa beliau masih lagi berada dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) selepas berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 4 April lalu.

Beliau berkata demikian kepada media apabila mendapati nama beliau tersenarai dalam rombongan Ketua Pergerakan Wanita PKR iaitu Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin ke Rumah Irak, Merindun Skrang, Engkilili sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tempatan hari ini.

“Saya langsung tidak menyertai rombongan terbabit. Ini kerana saya telah meletak jawatan sebagai Ketua Pergerakan PKR Lubok Antu dan keluar dari parti pembangkang terbabit setelah berakhirnya pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada bulan April lalu.

“Perjuangan saya dalam PKR nyata sia-sia selama ini memandangkan pihak pembangkang terbabit kerap meluahkan janji palsu kepada saya dan penduduk namun tidak pernah ditunaikan,” menurut beliau.

Agnes yang kini berjuang ‘tanpa parti’ untuk penduduk Lubok Antu telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya terhadap Ahli Parlimen di situ iaitu William Nyalau anak Badak.

“Saya juga menyatakan kesediaan diri untuk menyokong sepenuhnya perjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai iaitu Malcom Mussen anak Lamoh dan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

“Bagaimanapun berilah masa kepada saya untuk memilih penyertaan dalam mana-mana komponen parti BN selepas ini,” katanya.

Terdahulu Agnes yang menjemput pihak media untuk hadir ke rumah panjang di Selindung Ulu, Engkilili telah membuat kenyataan ini sambil disaksikan oleh ketua kaum di situ iaitu Kanselor Roy Edward Entalai.

“Ini adalah pengakuan ikhlas yang saya buat dihadapan anda (media) dan di hadapan Tuai Rumah saya di rumah panjang ini iaitu Kanselor Roy Edward Entalai...justeru diharap penduduk di sini tidak lagi memikirkan saya masih berada dalam PKR,” tambah beliau.

Sementara itu Kanselor Roy menyifatkan tindakan bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR Lubok Antu untuk keluar dari parti pembangkang berkenaan sebagai langkah bijak bagi membersihkan nama rumah panjangnya di sini.

Jawatan Ketua Pergerakan Wanita PKR Lubok Antu yang dikosongkan oleh Agnes Chendu Daud semenjak pilihan raya kecil lalu kini telah diisi oleh Angela anak Jabing yang merupakan isteri kepada Beginda Minda.

Tamat.

1 comment:

  1. Kita yang tak sehebat mana dalam politik tak perlu gempak dalam akhbar. Ada atau tidak kita di persada politik sekadar sekelumit cuma. Tak payah sibuk-sibuk tayang muka dalam akhbar.

    ReplyDelete