Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2009

Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman tutup 19 - 29 Sept

SRI AMAN, Rabu (16 Sept) – Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman yang beroperasi di bangunan Rumah MAKSAK Sri Aman di Jalan Kolam Air dalam bandar ini akan ditutup kepada orang ramai bermula 19 hingga 29 September kelak.

Jurucakap pengendali Pusat Gimnasium Rakyat Sri Aman, Yakub Zamahari ketika dihubungi berkata ia ditutup bermula dari tarikh yang dimaklumkan tersebut bagi memberi laluan kepada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 ini nanti.

“Penutupan pusat kecergasan dan bina badan terbabit pada tarikh itu kelak akan membolehkan para kakitangannya meraikan sambutan Perayaan Hari raya Aidilfitri ini nanti,” katanya sambil menambah bahawa Pusat Gimnasium Rakyat itu kembali beroperasi seperti biasa pada 30 September kelak.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kadar sambutan orang ramai terhadap kemudahaan terbabit, beliau menyatakan bahawa jumlah orang ramai yang menggunakan kemudahan ini terus meningkat berbanding bulan yang sebelumnya.

Menurut beliau peningkatan jumlah kedatangan pengunjung yang terdiri daripada lelaki dan wanita ini adalah disebabkan oleh hasil bantuan media massa yang sering menyiarkan berita mengenai kemudahan terbabit selama ini.

“Hasil bantuan akhbar tempatan dalam negeri ini, Pusat Gimnasium Rakyat mula dikunjungi lebih ramai penduduk sehingga menyebabkan peralatan gimnasium lelaki ditempatkan di dua buah bilik yang berasingan.

“Manakala bilik gimnasium wanita pula dipindahkan ke sebuah bilik baru demi menampung jumlah kedatangan pengunjung yang lebih ramai terutamanya lelaki,” kata beliau.

Terdahulu Kemudahan Gimnasium Rakyat yang mula dibuka untuk tujuan kegunaan orang ramai pada 4 Ogos lalu kini menerima tidak kurang daripada 15 orang pengunjung dalam tempoh sehari.

Dengan bayaran sebanyak RM1 seorang, Kemudahan Gimnasium Rakyat akan dibuka untuk tujuan kegunaan orang ramai bermula jam 5.30 pagi hingga 8 malam pada setiap hari.

Kemudahan Gimnasium Rakyat yang dikendalikan oleh jurulatihnya iaitu Yakub Zamahari menawarkan pelbagai alatan yang sesuai bagi tujuan senaman angkat berat dan senaman ringan dikalangan pengunjungnya.

Tamat.






1 comment: