Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 September, 2009

Percepatkan proses buat jalan tar di stumbin - Mong


Caption: PERLU PERHATIAN...Mong (dua kiri) ketika sedang meninjau keadaan jalan raya berbatu di sini hari ini.

LINGGA, Khamis (10 Sept) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang merayu pihak kerajaan agar menyalurkan segera peruntukan bagi membina jalan raya berturap bermula dari kawasan Kampung Sebu hingga ke Kampung Tanjung Bijat Air, dalam daerah kecil Lingga, Sri Aman.

Jalan sepanjang tujuh kilometer yang sedia ada sekarang menurut beliau adalah berbatu serta rosak dan secara tidak langsung menjejaskan aktiviti harian penduduk serta kakitangan kerajaan dari 35 buah rumah panjang, satu sekolah rendah dan satu klinik kesihatan dalam kawasan itu.

“Hampir 20 tahun jalan raya berbatu di sini belum diturap. Justeru saya memohon agar kerajaan dapat menyalurkan peruntukan dari pakej ransangan ekonomi bagi tujuan membina jalan raya tar di sini,” katanya.

Mong berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Program Gotong-Royong Kebersihan dan Anti Denggi bertempat di Rumah Baha Biran, Lunchong Tanjung Bijat, Lingga, Sri Aman hari ini.

Pembinaan jalan raya tar dari kawasan Kampung Sebu hingga ke Kampung Tanjung Bijat Air itu nanti kata beliau secara tidak langsung akan mempertingkatkan taraf hidup penduduk

“Ia sekaligus memudahkan penduduk atau kakitangan kerajaan di situ melaksanakan tugas harian masing-masing. Kini laluan jalan berbatu di itu masih berbatu dan berdebu yang secara tidak langsung menyukarkan hidup penduduk dari kawasan berkaitan,” katanya.

Terdahulu Mong pernah mengutarakan persoalan mengenai isu ini ketika berlangsungnya persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yang menjawab persoalan beliau menyatakan bahawa peruntukan untuk menaiktaraf Jalan Sri Aman, Stumbin, Bijat dan Lingga sudah pun diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.

Tamat.


No comments:

Post a Comment