Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 September, 2009

Peniaga runcit gula di sempadan akan dilesenkan - Esmanto

SRI AMAN, Selasa (8 Sept) - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang dalam proses melesenkan peniaga runcit yang menjual gula berhampiran dengan kawasan sempadan Malaysia – Indonesia terutama sekali dalam Bahagian Sri Aman ini.

Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari berkata langkah perlesenan terbabit amat penting bagi mencegah penyeludupan bekalan gula negara ini dalam Bahagian Sri Aman ini ke negara jiran.

“Langkah perlesenan ini yang telah berkuatkuasa semenjak 1 September lalu akan dikenakan terhadap para peniaga runcit dalam kawasan Sri Aman khasnya yang beroperasi dalam lingkungan 10 kilometer dari sempadan negara jiran.

“Tujuannya tidak lain adalah untuk membendung penyeludupan gula ke negara jiran. Ini amat penting bagi memastikan bekalan gula di negara kita khususnya di Sri Aman sentiasa mencukupi dari masa ke semasa,” menurut beliau ketika berlangsungnya sidang media di pejabatnya hari ini.

Antaranya langkah yang terkandung tindakan perlesenan ini menurut Roslan adalah menghadkan kadar stok gula yang dijual oleh peniaga runcit berkenaan bagi sekian tempoh waktu yang dinyatakan.

Lagipun pihak KPNKK menurut beliau akan dapat mengawasi kadar jualan bekalan gula dikalangan peniaga ini menerusi buku penyata stok bekalan yang disimpan oleh mereka sebelumnya.

“Pegawai kami telah pun dikerahkan untuk memantau kedai runcit yang beroperasi berhampiran sempadan negara jiran dalam kawasan Sri Aman ini dan hasilnya terdapat sejumlah enam orang peniaga di Lubok Antu yang telah tampil untuk memohon tindakan perlesenan ini.

“Bagaimanapun para peniaga runcit terutamanya mereka yang ada menjual stok gula berhampiran sempadan negara jiran dinasihatkan untuk memohon tindakan perlesenan terbabit di pejabat kami selepas ini,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment