Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2009

JKR Sri Aman manfaat sambutan bulan ramadhan agih bubur lambuk


Caption: AMALAN MULIA...Nasseruddin (tengah) dan Oliver (kanan) bersama kakitangan JKR Sri Aman ketika merakamkan gambar kenangan di hadapan Bubur Lambuk pada majlis itu semalam.


SRI AMAN, Selasa (15 Sept) – Kemuliaan sambutan Bulan Ramadhan pada tahun ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman untuk merapatkan hubungan silaturahim dikalangan kakitangan beragama Islam dan bukan Islam dalam jabatan itu.

Ia terbukti apabila persatuan itu telah mengagihkan sebanyak 150 bungkus Bubur Lambuk kepada kakitangan JKR Sri Aman yang beragama Islam dan bukan Islam menerusi majlis yang berlangsung di kantin jabatan terbabit petang kelmarin.

Majlis pengagihan Bubur Lambuk iaitu amalan ‘popular’ ini yang acapkali diadakan ketika berlangsungnya sambutan bulan Ramadhan pada setiap tahun itu telah disempurnakan oleh Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman merangkap pengerusi persatuan berkenaan iaitu Nasseruddin Haji Abdul Jabar.

“Amalan pengagihan Bubur Lambuk adalah merupakan aktiviti tahunan persatuan ini. Pihak kita memanfaatkan sepenuhnya sambutan Bulan Ramadhan ini untuk melaksanakan amalan kebajikan sesama insan termasuklah merapatkan hubungan di antara kakitangan Islam dan bukan Islam dalam jabatan ini.

“Justeru diharapkan agar amalan ini dapat terus dipupuk pada sambutan Bulan Ramadhan pada tahun hadapan disamping memberi peluang kepada kakitangan JKR berbilang kaum di sini untuk menikmati Bubur Lambuk terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Selain itu kata Nasseruddin, pihak persatuan juga telah menganjurkan majlis sembahyang Tarawih sebanyak tiga kali di JKR Sri Aman semenjak bermulanya sambutan Bulan Ramadhan ini tadi.

Malahan pihaknya juga pernah menganjurkan Program Ceramah Pra Ramadhan bertempat di jabatan ini dalam tempoh sebulan sebelum berlangsungnya Bulan Ramadhan dalam bandar ini.

“Pihak kami juga merancang untuk menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri jika tiada aral melintang selepas ini. Bagaimanapun terima kasih diucapkan kepada pihak kantin dan pengurusan JKR Sri Aman kerana telah bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Jurutera Bekalan Air, JKR Bahagian Sri Aman iaitu Oliver Gabong anak Jimmy hadir sama bagi menyaksikan majlis pengagihan Bubur Lambuk kepada kakitangan JKR di situ semalam.

Tamat.


No comments:

Post a Comment