Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 September, 2009

Jangan dengar cakap 'langau' kata Jabu


Caption: SELAMAT DATANG...Kedatangan Jabu disambut oleh penduduk ketika tiba untuk merasmikan majlis di sini hari ini.

BETONG, Rabu (30 Sept) – Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang melabelkan pihak pembangkang sebagai ‘langau’ (lalat) yang gemar menganggu dan menghasut pemikiran penduduk dalam negeri ini.

Menurut beliau golongan terbabit acapkalinya akan ‘hinggap’ pada penduduk terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar untuk menghasut mereka agar membenci kerajaan yang kini diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Mereka tidak senang terhadap status BN sebagai pejuang kebajikan hidup penduduk dalam negeri ini. Justeru mereka akan menjadi ‘langau’ dan hinggap pada penduduk yang mereka rasa mudah diekploitasi untuk kepentingan politik mereka semata-mata,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Peter / Paul, Nanga Buai, Padeh, Betong di sini hari ini.

Disebabkan oleh sikap pembangkang yang gemar menjadi ‘langau’ di negeri ini maka Jabu menasihatkan penduduk luar bandar agar berhati-hati ketika mendengar segala tohmahan daripada pihak terbabit selepas ini.

“Jika penduduk masih dahagakan pembangunan daripada kerajaan BN Negeri maka sekaranglah masanya buat mereka untuk menolak segala dakwaan palsu daripada pihak berkenaan.

“Tindakan menyokong pihak pembangkang ini menyebabkan masa depan pembangunan penduduk itu sendiri tergugat dan sebaliknya memberikan keuntungan politik kepada pihak itu sendiri,” katanya.

Justeru Jabu menasihatkan penduduk agar sentiasa berdiri teguh di belakang kerajaan BN Negeri agar projek pembangunan yang sedia ada sekarang masih dapat dilaksanakan dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment