Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 September, 2009

jabu nafi tandatangan orang Penan berhubung isu empangan Murun

BETONG, Jumaat (18 Sept) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang menafikan 600 tandatangan milik orang Penan berhubung isu pembinaan Empangan Murun di Baram.

Terdahulu Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Sarawak iaitu Dominique Ng bersama 14 orang kaum Penan ditahan oleh pihak polis ketika mahu menyerahkan memorandum bantahan berhubung pembinaan empangan Murun, Baram di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu lepas.

Memorandum bantahan yang tertulis ‘Rakyat Didahulukan, Projek Empangan Murun Dihentikan’ itu telah ditandatangani oleh 600 orang penduduk Kaum Penan dari tujuh buah rumah panjang dalam kawasan Murun itu.

“Adakah anda percaya kesemua 600 tandatangan dalam memorandum itu milik orang Penan? Bagi saya tidak. Saya langsung tidak mempercayainya (tandangan orang Penan berkenaan),” katanya ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas mengenai isu terbabit hari ini.

Menurut Jabu, orang Penan mempunyai pemikiran yang wajar selama ini memandangkan mereka juga ingin menikmati faedah pembangunan seperti mana yang dinikmati oleh lain-lain kaum dalam negeri ini.

Justeru jika terdapat orang Penan yang cuba menentang kerajaan berhubung isu pembangunan di kawasan masing-masing maka ianya disebabkan oleh campurtangan ‘pihak luar’ dan bukannya daripada pemikiran asal orang Penan itu sendiri.

“Sudah terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ‘pihak luar’ telah campurtangan dalam usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup orang Penan menerusi projek pembangunan dalam kawasan mereka sebelum ini.

“Justeru atas sebab itu kerajaan akan menentang campurtangan pihak luar terutama NGO’s (Badan Bukan Kerajaan ) berhaluan negatif ini secara berhabis-habisan demi masa depan hidup orang Penan,” kata beliau.

Terdahulu Jabu yang juga Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Mesyuarat Perwakilan cawangan PBB N.31 Layar bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua Kanan PBB merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB, Dr Stephen Rundi, Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi PBB, Aidan Wing dan ketua cawangan N32 PBB Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Setiausaha Eksekutif PBB Ibupejabat, Awang Bujang Awang Antek, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Watson Bangau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment