Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 September, 2009

BN produk politik terbaik untuk rakyat kata Nyalau


Caption: MANFAATKAN...Nyalau (tengah kanan) dan Rayong (tengah kiri) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima KWAPM pada majlis itu semalam.

ENGKILILI, Jumaat (18 Sept) – Barisan Nasional (BN) merupakan ‘produk politik’ terbaik untuk memaju serta memperjuangkan hal ehwal kebajikan hidup rakyat di negara ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Ia menurut beliau terbukti menerusi prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh BN dalam usaha memajukan pembangunan hidup rakyat di seluruh pelusuk kawasan dalam negara ini khususnya di Sarawak semenjak BN memegang tampuk pemerintahan kerajaan lebih 30 tahun dahulu.

“Justeru jangan sekali-sekali meminggirkan diri ataupun cuba berlagak hero untuk menentang dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN yang jelas terbukti mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi kepada rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau 2009 bersempena dengan Sukan Darat Antara Rumah Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Engkilili kelmarin.

Selain itu katanya para pemimpin BN juga sentiasa menjenguk rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan hulu sungai berbanding pihak pembangkang yang hanya hadir apabila tibanya pilihan raya di negeri ini.

“BN sentiasa menjenguk dan mendampingi rakyat tanpa mengira waktu dan senario ini nyata berbeza berbanding pembangkang apabila mereka hanya hadir pada pilihan raya dan seterusnya hilang selepas itu.

“Ini membuktikan bahawa hanya BN yang layak menjadi produk politik paling baik untuk rakyat termasuk yang mereka yang menetap di dalam dan luar kawasan bandar,” menurut Nyalau.

Beliau turut menambah bahawa dasar pentadbiran sistematik kerajaan BN dalam mentadbir negeri ini semenjak 30 tahun lalu telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam pembangunan hidup rakyat.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Ijok.

Beliau pada majlis itu juga telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada para murid SK Ijok terbabit.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili Dr Johnical Rayong anak Ngipa dan para ketua kaum dari daerah kecil Engkilili.

Tamat...

No comments:

Post a Comment