Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 September, 2009

Beras Komersial akan diperkenal ganti beras bersubsidi di pasaran - Rohani


Caption: MANFAATKAN...Rohani (kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil fakir miskin (kanan) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kanan beliau), Kamaluddin (dua kanan), Ustaz Ramzin (tiga kanan) serta Shamsiah (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (12 Sept) – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bakal memperkenalkan penjualan Beras Komersial di seluruh pasaran negara dalam masa terdekat kelak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata pengenalan Beras Komersial di pasaran seluruh negara kelak bertujuan untuk mengantikan Beras Bersubsidi yang sedang dijual pada harga RM1.80 sekilogram di pasaran pada masa sekarang.

“Tujuan sebenar penjualan Beras Bersubsidi di pasaran seluruh negara sebelum ini adalah untuk membolehkan golongan penduduk berpendapatan rendah mendapatkan bekalan makanan ruji itu ketika kenaikkan harga barang sebelum ini.

“Bagaimanapun hasil kajian kita sebelum ini mendapati bahawa Beras Bersubsidi ini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, peniaga serta dua juta warga asing dalam negara ini dan bukannya dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah sahaja,” kata beliau.

Beliau demikian ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Raya Kepada Fakir Miskin bertempat di Masjid Bandar Sri Aman petang kelmarin.

Justeru untuk menyelesaikan masalah itu pihak kementerian bakal membawa cadangan penjualan Beras Komersial dengan harga RM2.40 sekilogram ke atas itu pada mesyuarat kabinet persekutuan bulan depan.

Namun berita baiknya menurut Ahli Parlimen Batang Lupar itu ialah kerajaan bakal memperuntukan kupon pembelian Beras Komersial bernilai RM30 untuk setiap penduduk kurang berkemampuan yang tersenarai dalam program e-kasih.

“Justeru saya menyeru pihak Pejabat Residen dan lain-lain agensi kerajaan di sini untuk membantu mendaftarkan penduduk kurang berkemampuan dalam program e-kasih agar mereka sempat menikmati kupon pembelian beras terbabit sebelum ia dibincangkan pada mesyuarat kabinet bulan depan,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Ketua Pegawai Operasi Beras Corporation Sdn Bhd Sarawak, Mohd Kamaluddin Haji Mohd Effendie, Pegawai Jabatan Agama Islam (JAIS) Sri Aman, Ustaz Ramzin Hamdi dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Shamsiah Deli.

Rohani pada majlis itu kemudiannya menyampaikan sumbangan raya berupa barangan makanan dan beras hasil tajaan Padiberas Nasional (BERNAS) Berhad Sarawak dengan kerjasama Malaysia Building Society Berhad menerusi program K-Penyayang kepada setiap 128 fakir miskin dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.

Turut disumbangkan oleh beliau adalah wang raya kepada semua penerima fakir miskin ini hasil sumbangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.201 Batang Lupar.

Majlis itu adalah merupakan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman, Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.201 Batang Lupar, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman dan JAIS Sri Aman.

Tamat.






No comments:

Post a Comment