Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 September, 2009

Belum ada tangkapan semenjak SKM dikuatkuasa - Roslan


Mugshot: WAN ROSLAN ESMANTO

SRI AMAN, Khamis (24 Sept) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman masih belum membuat sebarang tangkapan semenjak Skim Kawalan Harga (SKM) sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dikuatkuasa pada 13 September lalu.

Ketua cawangannya Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari ketika dihubungi berkata setakat ini kesemua peniaga dalam kawasan Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok masih lagi mematuhi SKM terbabit.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Bagaimanapun jika pihak KPDNKK Sri Aman ada membuat tangkapan terhadap peniaga yang melanggar SKM maka perkara ini akan kami maklumkan kepada anda (media),” menurut beliau ketika dihubungi hari ini.

Selain itu pihak KPDNKK menurut beliau akan sentiasa mengadakan pemeriksaan secara mengejut terhadap premis peniaga di Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok bagi memastikan mereka mematuhi SKM ini.

“Justeru pihak kami mengingatkan para peniaga untuk sentiasa mematuhi SKM yang berkuatkuasa sehingga 27 September ini,” menurut Roslan.

Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2009 / 2010 telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 13 hingga 27 September ini dan ia mencakupi 17 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit yang telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Ia adalah Ayam Hidup, Ayam Standart, Ayam Super, Daging Lembu Tempatan, Daging Kerbau Import (India), Telur Ayam Gred A, B, C, Kubis Bulat Import (Indonesia dan China), Cili Merah, Tomato, Kelapa Parut, Ubi Kentang Import, Kacang Tanah Import, Bawang Merah Kecil (India) , Bawang Putih (China) dan Ikan Kembung (berat antara 8 hingga 11 ekor sekilogram).

Para peniaga menurut Roslan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 hingga RM7,500 jika disabitkan bersalah dibawah Sekyen 5 Akta Kawalan Harga 1946 berhubung skim kawalan harga ini.

“Malahan tindakan juga akan diambil terhadap peniaga yang tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu (terhadap barangan kawalan), gagal mempamerkan lesen jualan barangan tersebut dan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan terbabit,” menurut beliau.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan menurut beliau juga dinasihatkan untuk pihak KPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.


Tamat.



No comments:

Post a Comment