Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2009

Anak yatim tak perlu malu daftar diri dalam PERYATIM - Simoi


Caption: IKHLAS...Simoi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil fakir miskin (kiri) sambil disaksikan (dari kanan sekali) Awang Sohor, Penghulu Abang Haji Mohd Salleh, Kanselor Mas Shamshiah, Kamasita, Shamsiah Deli dan Abdul Latip ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Rabu (16 Sept) – Anak yatim tidak harus berasa malu untuk mendaftarkan diri masing-masing dalam Pertubuhan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Menurut beliau dipercayai bahawa terdapat masih ramai golongan anak yatim di negeri ini khususnya dalam kawasan Sri Aman yang lebih rela tinggal bersama keluarga saudaranya sendiri kerana malu untuk mendaftarkan diri dalam pertubuhan terbabit.

“Anak-anak yatim yang berumur dari tujuh hingga 19 tahun layak mendaftarkan diri dalam pertubuhan ini dan segala kebajikan mereka terutama dari segi aspek persekolahan serta lain-lain lagi akan terjaga sekiranya mereka berbuat demikian.

“Justeru saya menasihatkan semua pihak untuk menasihatkan golongan anak yatim untuk mendaftarkan diri mereka di PERYATIM demi melindungi kebajikan hidup mereka sepanjang masa,” katanya sambil menambah bahawa PERYATIM kini mempunyai cawangan di Miri dan Sibu selain dari di Kuching.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa, Solat Magrib, Isyak, Tarawih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Masjid Lama Kampung Tengah, Sri Aman petang semalam.

Beliau ketika berucap pada majlis itu juga berkata akan menjemput pengurus pertubuhan terbabit untuk menyampaikan ceramah mengenai fungsi lanjut PERYATIM terhadap penduduk di Sri Aman selepas ini.

Sementara itu Simoi juga berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa memantau dan memelihara kebajikan hidup golongan fakir miskin dalam negeri ini khususnya di Sri Aman.

Terdahulu beliau pada majlis itu telah menyampaikan sumbangan berupa wang dan hamper hasil inisiatif dirinya sendiri kepada 113 orang fakir miskin dan 23 orang anak yatim dalam daerah ini.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak cawangan Sri Aman, Haji Awang Sohor Awang Apek, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Shamshiah Deli, Pengerusi KRT Kampung Tengah / Stawang, Kamasita Wasli, para ketua kaum dan kakitangan jabatan kerajaan dalam bandar ini.

Majlis Berbuka Puasa, Solat Magrib, Isyak, Tarawih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri itu merupakan anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Lingga dengan kerjasama KRT Kampung Tengah / Stawang.

Tamat.


No comments:

Post a Comment