Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2009

113 fakir miskin dan 23 anak yatim terima sumbangan YB simoi

Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Rabu (16 Sept) – Sejumlah 113 fakir miskin dan 23 anak yatim dalam daerah Sri Aman menerima sumbangan raya berupa hamper makanan dan wang hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga iaitu Hajah Simoi binti Haji Peri.

Kesemua mereka ini menerima sumbangan terbabit menerusi Majlis Berbuka Puasa, Solat Magrib, Isyak, Tarawih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Masjid Lama Kampung Tengah, Sri Aman petang semalam.

Daripada jumlah fakir miskin terbabit, 57 penerima adalah dari Kampung Hilir dan 29 orang penerima lagi dari Kampung Hulu. Selebihnya 27 orang penerima adalah golongan fakir miskin dari Kampung Tengah.

Manakala itu pula kesemua 23 orang anak yatim yang menerima sumbangan raya pada majlis terbabit adalah merupakan penghuni Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman.

Simoi yang tiba di perkarangan Masjid Lama Kampung Tengah pada jam 5.45 petang itu telah menyampaikan kesemua sumbangan ini kepada para penerima sebaik sahaja selesai upacara doa selamat dan ucapan ringkas daripada beliau.

Sebaik sahaja selesai majlis itu para hadirin kemudiannya sama-sama menikmati hidangan jamuan berbuka puasa pada jam 6.34 petang sebelum bersama-sama mengerjakan sembahyang Magrib, Isyak dan Tarawih pada majlis itu.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak cawangan Sri Aman, Haji Awang Sohor Awang Apek, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Shamshiah Deli, Pengerusi KRT Kampung Tengah / Stawang, Kamasita Wasli, para ketua kaum dan kakitangan jabatan kerajaan dalam bandar ini.

Majlis Berbuka Puasa, Solat Magrib, Isyak, Tarawih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri itu merupakan anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Lingga dengan kerjasama KRT Kampung Tengah / Stawang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment