Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 August, 2009

Tangkis diskriminasi guna agama - Nyalau

LUBOK ANTU, Sabtu (8 Ogos) – Agama memainkan peranan dalam mengikis sikap diskriminasi penduduk berbilang kaum dalam di kawasan Batang Ai demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Menurut beliau, ajaran agama Islam, Kristian dan Buddha mendidik penganutnya tentang mengamalkan hubungan yang baik dan saling hormat-menghormati dikalangan satu sama yang lain.

“Jadi tiga agama yang diamalkan oleh penduduk berbilang kaum termasuk Melayu, Iban dan Cina di sini berfungsi untuk menyatupadukan hubungan di antara mereka tanpa adanya unsur diskriminasi kaum di antara satu sama lain.

“Ini seterusnya menyumbang ke arah pembangunan mantap di sekitar kawasan Batang Ai di masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Tengahari bersempena Ulangtahun Ke-25 Persatuan Wanita Gereja Saint Philip dan Majlis Amal Kebajikan Untuk Pembinaan Baru Gereja Saint Philip, Lubok Antu hari ini.

Selain itu perpaduan yang utuh dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Batang Ai menurut beliau sekaligus boleh menjana pertumbuhan ekonomi dan penyediaan kemudahan infrastruktur di situ untuk tempoh tahun yang seterusnya.

Malahan segala projek pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini kata Nyalau akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar tanpa timbulnya masalah perselisihan agama selepas ini.

“Justeru saya berharap agar penduduk berbilang kaum di Batang Ai untuk terus mentaati ajaran agama masing-masing demi menjamin kesejahteraan hidup yang lebih baik di sini menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Reverend Father Bolly Lapok, para ketua kaum dan penduduk dari sekitar daerah Lubok Antu.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM40,000 bagi tujuan pembinaan Gereja Baru Saint Philip manakala Mussen pula mengumumkan peruntukan bernilai RM20,000 kepada gereja tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment