Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 August, 2009

Sedia hadapi perubahan - Shamshuddin

Caption: TINJAU...Shamshuddin (tengah) bersama Rabaie (kiri) ketika sedang mengiringi Simoi (kanan) untuk memantau aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (28 Ogos) – Bandar Sri Aman bakal mengalami perubahan besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan terbinanya Stesen Pemerhatian Benak dan Tebingan Sungai Sri Aman ini nanti.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji berkata Stesen Pemerhatian Benak yang menelan kos pembinaan sebanyak RM5.1 juta sebelum ini akan siap penghujung bulan September nanti manakala Tebingan Sungai Sri Aman (Fasa I) pula sudah pun mula digunakan pada masa sekarang.

“Bandar Sri Aman akan menjadi pusat penganjuran beberapa aktiviti pelancongan yang utama dengan terbinanya Stesen Pemerhatian Benak dan Tebingan Sungai Sri Aman dalam bandar ini.

“Justeru penduduk di sini terutamanya golongan peniaga kecil perlu bersiap sedia untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku dalam bandar ini terutama sekali dari segi penyampaian khidmat mereka terhadap pelancong luar di masa akan datang,” menurut beliau.

Shamshuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Ramadhan 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman di situ semalam.

Selain itu beliau juga mengalakkan penduduk tempatan termasuk peniaga kecil untuk mencari peluang mempertingkat taraf ekonomi keluarga masing-masing apabila bandar ini menjadi pusat pelancongan utama selepas ini.

“Bagaimanapun harapan saya ialah semua penduduk berbilang kaum dalam bandar ini memberikan sepenuh kerjasama dalam penganjuran pelbagai program termasuk pelancongan di masa akan datang.

“Mereka terutamanya sekali peniaga kecil harus bersedia sekarang untuk melangkah setapak ke hadapan apabila bandar kita (Sri Aman) mengalami transformasi pembangunan seperti yang saya sebutkan sebelum ini,” menurut beliau.

Aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang menelan kos penganjuran sebanyak RM40,000 itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Hadir sama ialah Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Abang Rabaie Abang Muhi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment