Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 August, 2009

Rumah panjang jangan pecah dua kerana bergaduh - Rayong


Caption: TAHNIAH…Dr Rayong (kanan sekali) menyampaikan sijil perlantikkan ahli JKKK kepada Cr Bungkong sambil diperhatikan Nyalau (dua kiri) dalam majlis itu.

ENGKILILI, Khamis (6 Ogos) – Penduduk di kawasan Skim Penempatan Semula Skang dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman dinasihat agar tidak mewujudkan sebuah lagi rumah panjang ekoran perselisihan faham yang berlaku dikalangan diri mereka sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menyampaikan nasihat terbabit ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Induk Skrang Skim di Balai Raya Skrang, Sri Aman baru-baru ini.

Menurut beliau memang tidak dinafikan bahawa seseorang itu boleh melakukan kesilapan sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan penduduk rumah panjang yang lain di situ.

“Bagaimanapun mereka yang berbalah harus mencari jalan untuk berbaik semula di antara satu sama yang lain dan bukannya bertindak membawa penghuni rumah panjang yang lain untuk menumbuhkan sebuah lagi rumah panjang yang baru.

“Ia merupakan satu tindakan yang negatif. Menubuhkan sebuah lagi rumah panjang yang baru menandakan bahawa penghuni mereka tidak boleh bertolak ansur di antara satu sama lain sehingga penduduk lain memandang serong terhadap tindakan mereka itu,” katanya.

Selain itu Dr Rayong juga turut menasihatkan penduduk di skim penempatan semula berkenaan untuk terus bersatu-padu bagi menjayakan segala rancangan pembangunan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri.

Untuk itu katanya, pihak JKKK di situ harus memainkan peranan mereka dengan lebih aktif untuk menyelesaikan segala masalah dalaman penduduk demi kebaikan bersama di masa akan datang.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak telah menyempurnakan Majlis Ngiling Bidai di Balai Raya Skim Skrang sambil disaksikan oleh para ketua kaum dari sekitar kawasan berkenaan.

Skim Penempatan Semula Skrang yang merupakan tempat kelahiran asal Dr Rayong sebelum ini memiliki 16 buah rumah panjang pada masa sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment