Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 August, 2009

Penubuhan CIU untuk basmi jenayah - Jusoh


Caption: TAHNIAH...Mat Jusoh (kanan) sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada Mual Landa ketika berlangsung majlis pagi ini.

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Penubuhan Unit Pencegahan Jenayah (CIU) dijangka mampu membantu pihak polis dalam usaha mengurangkan lagi kadar kes jenayah yang berlaku dalam kawasan Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad berkata CIU berperanan penting dalam mempertingkatkan lagi mutu khidmat penyampaian maklumat di antara pegawai atau anggota polis dan orang awam di daerah ini.

“Ia merupakan pendekatan yang kita gunakan untuk membenteras kes jenayah di daerah ini walaupun pihak Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah melebihi 20 peratus bagi tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

“Justeru penubuhan CIU ini membolehkan pegawai atau anggota kita menerima maklumat berhubung kes jenayah yang berlaku di daerah ini secara lebih menyeluruh sebelum tindakan diambil untuk membenterasnya,” menurut beliau.

Mat Jusoh berkata demikian ketika berucap pada Upacara Kawad Bulanan dan Penyampaian Sijil Penghargaan yang berlangsung di padang kawat, IPD Sri Aman hari ini.

Selain itu Jusoh juga menasihatkan para pegawai dan anggotanya untuk lebih komited ketika melaksanakan tugas dalam kawasan daerah ini demi membendung kenaikan kadar kes jenayah di sini.

Malahan beliau juga mahu semua pegawai dan anggotanya untuk tidak melakukan sebarang kegiatan atau perkara yang boleh menjejaskan nama IPD Sri Aman itu sendiri dari masa ke semasa.

“Jika perkara ini berlaku maka orang awam di daerah ini akan hilang kepercayaan terhadap peranan kita dalam menjaga keselamatan mereka. Maka adalah lebih baik setiap pegawai dan anggota menjaga disiplin masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan sijil penghargaan kepada lapan orang anggota IPD Sri Aman di atas prestasi cemerlang masing-masing ketika melaksanakan tugas mereka sebelum ini.

Penerimanya adalah Sarjan Ng Annam, Kopral Rapian Morshidi, Lans Kopral Mual Landa, Lans Kopral Ambi Ason, Lans Kopral Clif Tagong, Lans Kopral Wanita Sibia Nyogem, Lans Kopral Andrew Roland dan Konstabel Murali a/l Muniandy.

Wartawan dari akhbar International Times atau Berita Petang iaitu Lim Sui Khiong juga turut menerima sijil penghargaan pada majlis itu. Turut menerima sijil itu ialah penulis sampingan bagi akhbar Utusan Borneo cawangan Sri Aman iaitu Kelvin Lambai anak Jimmy Hansen.

Tamat.


No comments:

Post a Comment