Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 August, 2009

Penduduk di simunjan hadapi masalah air

SIMUNJAN, Khamis (6 Ogos) – Masalah kemarau yang dijangka berakhir pada penghujung bulan September ini sememang memberikan kesan terhadap beberapa buah perkampungan di kawasan daerah kecil Simunjan, Samarahan semenjak sebulan yang lalu.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak tiga hari lepas mendapati bahawa kampung Kesindu dan Lemujong adalah merupakan beberapa buah perkampungan Iban di kawasan Batang Ulu, Simunjan yang kini mengalami masalah kekurangan air ekoran musim kemarau yang disebabkan oleh fenomena El-Nino sebelum ini.

Rata-rata penduduk dari kedua-dua kawasan perkampungan berkenaan bergantung hidup pada sumber air dari kawasan sungai yang berdekatan untuk melaksanakan urusan harian masing-masing.

“Penduduk dari kawasan Kampung Kesindu dan Lemujong bergantung kepada sumber air bukit atau Gravity Feed Water selama ini bagi tujuan urusan harian rumah masing-masing seperti masak, membasuh pinggan, mandi dan sebagainya.

“Namun semenjak berlangsungnya musim kemarau, kesemua penduduk kini melaksanakan urusan harian mereka di Sungai Kambing dalam kampung ini memandangkan ketiadaan sumber air bukit hingga sekarang,” kata seorang penduduk iaitu Nayan anak Ramba, 65 tahun.

Bagaimanapun penduduk yang tinggal berhampiran dengan Kampung Lemujong masih bergantung kepada sumber air bukit mereka walaupun sumber air berkenaan hanya boleh diperoleh menjelang jam 3 hingga 6 pagi setiap hari.

Seorang penduduk, Sinja Banyeng, 52, berkata dia terpaksa bangun pada jam 3 pagi kerana mahu menyimpan sumber air bukit yang hanya mula mengalir bermula pada waktu berkenaan.

“Air bukit yang mengalir dari paip kami di sini langsung tidak sebesar jari telunjuk jari saya sendiri semenjak bermulanya musim kemarau di negeri ini semenjak lebih sebulan yang lalu.

“Bagaimanapun ianya lebih baik daripada tiada. Bagi rumah panjang yang sudah memiliki sistem paip bermeter mungkin bernasib baik pada masa sekarang berbanding penduduk yang masih bergantung kepada sumber air bukit,” katanya.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa para murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pedalai, Simunjan menerima bantuan bekalan air yang dihantar oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Simunjan hingga sekarang.

Tamat.



1 comment: