Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 August, 2009

Pendam Temuai akan diperindahkan - Harden


Caption: ADAT...Harden (tengah) bersama Mong (kiri) ketika menghadiri upacara Miring sebelum bermulanya majlis tersebut di sini baru-baru ini.


Pix by ZULIA HAII JEMAT

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dengan kerjasama Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman akan melaksanakan projek mengindahkan kawasan Kubur atau Pendam Temuai yang terletak di kawasan Jalan Paderi, Sri Aman dalam tempoh terdekat kelak.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata projek pengindahan semula kawasan kubur ‘lama’ berkenaan akan mencakupi pembinaan sebuah Tugu Peringatan Khas, tanaman bunga dan kawasan landskap yang lebih indah.

Tanpa menyatakan luas kubur berkenaan, pihak MDSA menurut beliau akan mengemukakan cadangan berhubung perlaksanaan projek terbabit kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman.

“Tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan kubur lama ini. Justeru pihak MDSA dan persatuan itu akan melaksanakan projek pembinaan landskap ke atas kubur terbabit disamping membina Tugu Peringatan dan penanaman bunga bagi tujuan pengindahan.

“Objektif utamanya projek pengindahan kawasan Pendam Temuai ini ialah untuk menghapuskan tempat pembiakan Nyamuk Aedes disamping menambahkan keindahan landskap bagi kawasan bandar Sri Aman,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Gotong Royong Membersihkan Pendam Temuai anjuran MDSA dan Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kawasan Pendam Temuai kini menurut Harden telah menempatkan sebanyak 105 mayat si mati yang telah berdaftar oleh keluarga dengan pihak Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman.

“Bagaimanapun jumlah si mati yang telah disemadikan di Pendam Temuai sebenarnya berjumlah lebih daripada 105 memandangkan selebihnya kubur di situ belum lagi didaftarkan oleh ahli keluarga si mati itu sendiri.

“Justeru saya menasihatkan mereka yang belum berbuat demikian agar berjumpa dengan Ketua Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman iaitu Pemanca Sameul Lawen untuk mendaftarkan nama si mati di situ agar nama si mati nanti dapat dipaparkan pada Tugu Peringatan yang bakal dibakal dibina di situ kelak,” menurut beliau.

Harden pada majlis itu mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman bagi membantu perlaksanaan projek berkenaan selepas ini.

Hadir sama ialah ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, Wali Kota Sri Aman, Piau anak Inggot, Pemanca Samuel Lawen, para pegawai kerajaan dan ketua masyarakat dari sekitar daerah ini.

Pendam Temuai adalah merupakan kawasan kubur yang dipercayai mula dibuka sekitar tahun 1960 dahulu untuk menempatkan si mati yang datang dari kawasan jauh dan meninggal di bandar Sri Aman ini.

Pendam ini yang tidak diketahui kewujudannya oleh sebilangan besar penduduk di kawasan bandar Sri Aman turut menempatkan mayat si mati yang pada ketika tahun itu tidak pernah dituntut oleh ahli keluarga dari hospital.

Faktor kekurangan kemudahan pengangkutan dan perhubungan sekitar tahun 1960 dan 1970-an dahulu dipercayai menyebabkan si mati kebanyakkan dari kawasan Lubok Antu, Ulu Engkari dan Sungai Tengak disemadikan di kubur terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment