Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 August, 2009

Pelbagaikan sumber pendapatan - Hamden


Caption: LAWAT...Hamden (tengah) sambil diiringi oleh Wahbi (kiri) dan Romie (belakang kiri) sedang melawat tapak gerai jualan beraneka ketika berlangsungnya pesta berkenaan hari ini.

SPAOH, Selasa (18 Ogos) – Penduduk di kawasan daerah Spaoh, Betong tidak perlu bergantung kepada satu sumber pendapatan untuk mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga masing-masing demikian menurut Menteri Muda Pelancongan dan Hal Ehwal Belia, Haji Hamden Haji Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang untuk merasmikan Pesta Ikan Buntal Betong 2009 bertempat di Kampung Manggut dalam daerah Spaoh, Betong hari ini.

Penduduk di situ kata Hamden boleh menjana sumber pendapatan berasaskan perniagaan dan pertanian komersial yang mempunyai potensi lebih luas di pasaran berbanding dengan hanya melaksana aktiviti pertanian menanam jagung dan nanas sepanjang masa.

“Penduduk di sini misalannya boleh menjadikan Ikan Buntal sebagai salah satu produk perniagaan masing-masing sekiranya mereka tahu cara untuk mengekploitasi peluang terbabit.

“Mereka masih boleh bergiat aktif aktiviti pertanian masing-masing. Namun mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti niaga berasaskan kepada produk Ikan Buntal juga tidak salah janji ia boleh menambah sumber pendapatan masing-masing,” katanya.

Selain itu Hamden juga tidak menafikan penularan wabak Influenza A atau H1N1 di negara ini telah memberikan impak terhadap kadar kemasukan pelancong asing ke sini terutamanya Sarawak.

Bagaimanapun penularan wabak berkenaan menurut beliau dijangka hanya memberikan impak sementara berdasarkan kepada usaha kerajaan dalam menangani masalah penyakit tersebut.

“Justeru saya berharap agar penganjuran Pesta Ikan Buntal Betong pada setiap tahun ini dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat dan pembangunan di kawasan Kampung Manggut, Betong,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Betong, Romie Sigan Daniel, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Ikan Buntal Betong, Friday Belik dan para pegawai kerajaan di situ.

Pesta Ikan Buntal Betong 2009 yang bermula di Kampung Manggut dalam daerah Spaoh, Betong kelmarin akan berakhir secara rasminya pada malam ini. Majlis penutupan pesta ini akan dirasmikan oleh ADUN Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment