Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 August, 2009

Pelbagaikan fungsi institusi masjid atau surau kata Simoi


Caption: USAHA MURNI...Simoi (kanan) dan Penghulu Haji Mohd Salleh (kiri) bersama para tetamu yang lain ketika mahu memulakan kerja membersihkan Surau Kebahagian Kampung Hilir di sini baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (17 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri mahu umat Islam di sekitar daerah Sri Aman mempelbagaikan fungsi penggunaan masjid sebagai sebuah institusi untuk mempertingkatkan pengetahuan tentang agama Islam dikalangan diri masing-masing.

Jelas beliau rata-rata umat Islam pada masa sekarang masih memandang masjid atau surau sebagai tempat untuk menunaikan ibadat sembahyang tanpa menyedari kelebihannya dalam menyumbang peningkatan kualiti taraf hidup umat Islam di bandar ini.

“Fungsi masjid atau surau sebenarnya boleh dioptimumkan ke tahap yang lebih baik iaitu dengan menjadikannya sebagai sebuah platform untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan peningkatan taraf kebajikan penduduk setempat.

“Misalannya masjid atau surau mungkin boleh dijadikan sebagai tempat untuk bermesyuarat, tusyen, kursus pembelajaran komputer dan latihan nasyid asal sahaja yang keluar dari lingkungan ajaran agama Islam,” katanya.

Simoi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gotong Royong Membersihkan Surau Kebahagian Kampung Hilir bersempena dengan sambutan Bulan Ramadhan anjuran Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Tanjung Engkabang Kampung Hilir baru-baru ini.

Dengan adanya langkah seumpama ini menurut beliau, masjid atau surau bukan hanya akan menjadi tarikan golongan dewasa dan warga emas di bandar ini malah turut menarik penyertaan lebih ramai golongan remaja untuk sama-sama memanfaatkan fungsi tempat ibadah berkenaan di masa akan datang.

Ia kata Simoi sekaligus dapat memberikan kesan terhadap peningkatan kualiti taraf hidup secara menyeluruh terhadap golongan warga emas, dewasa dan remaja dalam daerah Sri Aman dari masa ke semasa.

“Ingatlah bahawa masjid pada zaman Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja dijadikan sebagai tempat menunaikan sembahyang malah dijadikan sebagai lokasi penting oleh baginda untuk menyampaikan dakwah mengenai ajaran Islam kepada umatnya yang lain.

“Ini membuktikan bahawa masjid boleh menjadi sebuah institusi penting bagi semua umat Islam untuk melaksana pelbagai aktiviti atau program bagi mengangkat ajaran Islam ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak terutama ibubapa, badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dalam daerah ini supaya ‘turun padang’ untuk lebih aktif dalam melaksanakan program agama demi menarik minat golongan belia di masa akan datang.

Hadir sama ialah Pengerusi PPWS Tanjung Engkabang, Nur Khadijah Abdullah, Penghulu Haji Mohd Salleh, Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem, Ketua Kampung Abang Haji Mazaman, Pengerusi Surau Kebahagian Kampung Hilir, Haji Abang Ariffin, Pengerusi Unit SABERKAS Kampung Hilir, Mas Mashore Haji Maslem dan Pengerusi Kebajikan PPWS Tanjung Engkabang, Habsah Wasli.


Tamat

No comments:

Post a Comment