Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 August, 2009

Komersialkan tanaman - Rayong


Caption: RASMI…Dr Rayong (tiga kanan) dan Nyalau (dua kiri) merasmikan tapak rumah panjang baru Nudong, Murad, Skrang sambil disaksikan oleh Mujah (dua kanan) dan Tr Nudong (tengah) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SKRANG, Isnin (24 Ogos) – Golongan petani dalam kawasan pedalaman boleh mempertingkat hasil pendapatan keluarga masing-masing sekiranya mereka melaksanakan aktiviti bercucuk tanam secara komersial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata amalan bercucuk tanam secara komersial dilihat lebih releven pada masa sekarang berbanding amalan bercucuk tanam secara tradisional.

“Peningkatan kualiti taraf hidup pada masa sekarang menuntut golongan petani dari kawasan luar bandar untuk lebih berdikari ketika mencari nafkah hidup dengan mengurangkan pergantungan terhadap amalan bercucuk tanam ala tradisional.

“Petani kawasan luar bandar sebaliknya perlu mempertingkat kapasiti pengeluaran penanaman masing-masing (secara komersial) agar lebihan hasil itu nanti mampu dijual di pasaran bagi menampung pendapatan keluarga mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian N.28 Engkilili bersama JKKK Nudong di Rumah Nudong, Murat, Skrang, Sri Aman baru-baru ini.

Rayong menerusi ucapannya mengalakkan golongan petani di kawasan ini untuk mencontohi golongan petani di negara Amerika Syarikat yang mampu menjadi jutawan hasil daripada amalan aktiviti bercucuk tanam secara komersial masing-masing.

“Petani tidak harus malu kerana memegang ‘profession’ ini memandangkan mereka juga mampu meraih pendapatan lebih lumayan daripada kakitangan kerajaan sekiranya mereka tahu langkah yang betul untuk melaksanakannya,” menurut beliau.

Rayong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan kerajaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nudong manakala RM5,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Giri, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu Geoffery Baja Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh dan para kakitangan kerajaan sekitar daerah ini.


Tamat.

No comments:

Post a Comment