Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 August, 2009

Ibubapa dan guru perlu kongsi peranan tangani masalah pelajar - Snowdan


Caption: TAHNIAH...Snowdan (tengah) sedang menyampaikan hadiah kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh Ibrahim (kiri) ketika berlangsungnya acara baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) – Perkongsian tanggungjawab antara ibubapa dan guru amat penting bagi menangani masalah penglibatan pelajar sekolah dalam masalah sosial pada masa sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata tanggungjawab mengekang penglibatan pelajar dalam masalah itu tidak boleh dipikul oleh satu pihak sebaliknya perlu ditangani secara usahasama bagi memperoleh hasil yang lebih positif.

“Kerajaan memandang berat terhadap masalah penglibatan pelajar dalam aktiviti sosial kurang sihat (seks rambang, menghidu gam, lepak, pengambilan dadah) memandangkan ia secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha kita untuk melahirkan golongan modal insan di masa akan datang.

“Justeru masalah ini perlu ditangani bersama oleh kedua-dua pihak. Pihak guru memantau pergerakan disiplin pelajar di sekolah manakala ibubapa memantau kegiatan anak-anak (pelajar) di dalam dan luar rumah mereka masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Acara Larian Tiang Laju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang bertempat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman baru-baru ini.

Untuk menangani penglibatan para pelajar dalam gejala sosial ini, pihak ibubapa dan guru menurut beliau harus mengalakkan para pelajar untuk lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum atau riadah di kawasan masing-masing.

“Malah ia merupakan satu alternatif positif bagi mengelak penglibatan para pelajar dalam gejala sosial yang kini kian parah dan membimbangkan pihak sekolah, ibu bapa, penduduk dan negara amnya,” katanya.

Snowdan menerusi ucapannya telah mengucapkan tahniah kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam acara Larian Tiang Laju SMK Simanggang kerana telah menyahut cabaran untuk hidup sihat.

“Larian Tiang Laju ini seharusnya menjadi wadah untuk Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) mengumpul dana sejajar dengan impian Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang ingin memperluaskan “Knowledge Economy” ke arah merealisasikan Projek Koridor Tenaga Boleh Perbaharui Semula (SCORE),” katanya.

Beliau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada pihak PIBG SMK Simanggang. Turut diumumkan oleh beliau ialah peruntukan bernilai RM5,000 daripada Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat kepada PIBG sekolah berkenaan.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG SMK Simanggang, Abang Mohd Hashim Abang Masunie, Pengetua SMK Simanggang, Haji Ibrahim bin Jamain, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Mohd Yusof bin Haji Lugom, Penolong Kanan SMK Simanggang, Engkamat Slapok, para guru dan peserta acara tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment