Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 August, 2009

Daftar tanah NCR milik OKU, nasihat Mong


Caption: PRIHATIN...Mong (tengah) bersama ketua jabatan dan ketua kaum bergambar kenangan bersama penerima kerusi roda pada majlis itu semalam.

fact n Pix : Whelton Lumpoi, JASA Parlimen P.202 Sri Aman (http://www.temuai.blogspot.com)


SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Ketua Kaum harus ‘turun padang’ untuk mendaftarkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di agensi kerajaan yang berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata tindakan ini amat penting bagi mengelakkan tanah NCR milik golongan OKU ditipu oleh golongan pemaju tanah yang tidak bertanggungjawab.

“Ketua kaum itu juga harus membantu golongan OKU yang ingin memajukan tanah NCR masing-masing dengan syarikat pemaju luar dengan merujuk permohonan mereka di agensi kerajaan berkaitan terlebih dahulu.

“Lagipun dengan memperkuatkan lagi kepentingan tanah NCR golongan berkenaan, ketua kaum juga harus bertindak memastikan golongan ini mengikut prosedur kerajaan jikalau mereka melibatkan diri dalam projek skim tanaman komersial tertentu,” menurut beliau.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Gading, Rumah Panjang Ran, Sri Aman semalam.

Selain itu golongan OKU menurut Mong juga digalak untuk mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Orang Cacat Sarawak.

Tindakan mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Orang Cacat Sarawak menurut beliau amat penting bagi memastikan kebajikan golongan terbabit terus terpelihara dari masa ke semasa.

“Golongan OKU di Sarawak terutamanya dalam daerah Sri Aman perlu mengambil peluang ini memandangkan Pertubuhan Orang Cacat Sarawak menyediakan banyak kemudahan atau bantuan untuk golongan tersebut.

“Justeru mereka (OKU) yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Presiden Pertubuhan Orang Cacat Sarawak iaitu Jatan Kidu menerusi talian 082-255244 bagi tujuan pendaftaran dan pertanyaan lanjut,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Thomas Geoffery Kendawang, SAO Douglas Amut, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Sherit, Pegawai Penerangan JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para wakil ketua jabatan dan ketua kaum dalam daerah ini.Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan berjumlah RM4,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rumah Gading manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.


Selain itu juga, beliau turut menyampaikan dua buah kerusi roda kepada dua orang penduduk rumah panjang terbabit iaitu kepada Maka anak Atit dan Sima anak Jayan.
Tamat...


No comments:

Post a Comment