Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 August, 2009

Bazaar Ramadhan tonjol potensi peniaga kata Simoi




Caption: RASMI...Simoi (tengah) sedang menyempurnakan majlis dengan memotong reben sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kanan) dan Rabaie (kiri) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Khamis (27 Ogos) – Potensi niaga penduduk mampu ditonjolkan menerusi penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang berlangsung di Jalan Main Bazaar, Sri Aman semenjak 20 Ogos lalu.

Ini kerana penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 ini telah memberi peluang kepada penduduk dalam bandar Sri Aman untuk memulakan aktiviti niaga berskala kecil sebelum mereka berpengalaman sepenuhnya untuk memulakan aktiviti niaga pada skala besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata demikian ketika berucap merasmikan Bazaar Ramadhan 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman di situ hari ini.

“Penduduk bandar Sri Aman harus memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dengan melaksanakan aktiviti niaga bagi menjana sumber pendapatan tambahan keluarga masing-masing.

“Ia sesuai dengan hasrat kerajaan kita untuk melihat penduduknya yang mampu berdikari, berdaya saing dan seterusnya mempertingkatkan kualiti hidup masing-masing,” katanya.

Beliau menerusi ucapannnya pada majlis itu juga mahu semua peniaga Bazaar Ramadhan ini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka.

Malahan Simoi juga mahu setiap peniaga di situ untuk mengamalkan sikap mesra pelanggan bagi memberi gambaran baik terhadap penganjuran Bazaar Ramadhan ini di tahun akan datang.

“Impaknya cukup besar walaupun aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan berlangsung pada skala kecil. Apa yang kita mahukan adalah penyatuan semua penduduk berbilang kaum dalam bandar ini menerusi aktiviti terbabit.

“Justeru saya berharap agar para peniaga Bazaar Ramadhan dapat menimba pengalaman baru dalam hidup masing-masing untuk lebih berjaya di masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti ini adalah rahmat yang ditonjolkan acapkali berlangsungnya bulan Ramadhan pada setiap tahun.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Abang Rabaie Abang Muhi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Simoi bersama rombongan telah meluangkan masa selama 30 minit untuk meninjau suasana aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan itu sebaik sahaja selesai majlis perasmian terbabit.

Tamat.



No comments:

Post a Comment