Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 August, 2009

Barang milik seorang pembantu MP dari Sri Aman kena curi

SRI AMAN, Jumaat (14 Ogos) – Seorang pembantu khas kepada seorang ahli politik dari kawasan Bahagian Sri Aman mengalami kerugian sekitar RM4,000 apabila komputer riba dan beberapa dokumen penting miliknya dilarikan oleh penjenayah dalam kejadian yang berlaku di kawasan Tabuan Baru, Kuching pada jam 8.40 pagi hari ini.

Mangsa ketika dihubungi Utusan Sarawak berkata sebelum berlakunya kejadian itu, beliau bersama rakannya yang juga merupakan wartawan akhbar tempatan dari Sri Aman ini pergi di kawasan Tabuan Laru dengan menggunakan kenderaan Toyota Hilux untuk tujuan sarapan pagi.

Setelah tiba di tempat letak kenderaan, kedua-dua mereka kemudiannya pergi ke sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari situ dengan meninggalkan komputer riba serta beberapa dokumen penting dalam kenderaan terbabit.

“Sebaik sahaja selesai minum, saya bersama rakan terkejut apabila mendapati cermin belakang kenderaan Toyota Hilux tersebut pecah sebaik sahaja kami tiba di kenderaan itu.

“Setelah diperiksa, saya mendapati bahawa komputer riba dan beberapa dokumen penting telah hilang,” katanya sambil mendakwa bahawa penjenayah menggunakan sejenis alat penyembur khas bagi memecahkan cermin kereta berkenaan.

Tanpa membuang masa, mangsa bersama rakannya kemudian tampil ke balai polis di Simpang Tiga, Kuching pada jam 10.23 pagi untuk melaporkan kejadian jenayah tersebut.

“Saya amat kesal dengan kejadian ini memandangkan komputer riba saya menyimpan banyak maklumat penting ditambahi pula dengan kehilangan dokumen yang amat berkait rapat dengan pembangunan hidup rakyat.

“Nasihat saya kepada orang ramai ialah jangan sesekali meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan ketika anda meninggalkannya memandangkan penjenayah mempunyai banyak cara untuk memecah masuk kenderaan milik orang ramai pada zaman sekarang,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment